Kembiri kimia pesalah seks bukan jaminan masalah selesai

P-Sundramoorthy

PETALING JAYA: Pengembirian kimia tidak semestinya mampu mencegah pesalah seks daripada menyerang lebih ramai mangsa pada masa depan, kerana kepuasan seksual secara fizikal bukan faktor tunggal di sebalik serangan seksual itu, kata pakar jenayah.

Pakar jenayah USM P Sundramoorthy berkata itu sebabnya kenapa beliau percaya hukuman penjara lebih panjang penyelesaian yang lebih baik.

Beliau berkata demikian susulan laporan mengenai Putrajaya terbuka kepada cadangan untuk pedofilia yang disabitkan bersalah dikenakan pengembirian kimia, mengikut jejak langkah pelaksanaannya di Indonesia.

Pengembirian kimia ialah menggunakan dadah untuk mengurangkan keinginan seks, tanpa pensterilan atau membuang organ seseorang.

Bagaimanapun, Sundramoorthy berkata pakar dan penyelidik mendapati faktor lain mendorong serangan seksual itu termasuk keperluan kawalan fizikal dan emosional terhadap mangsa.

“Kepuasan seksual secara fizikal menerusi kemasukan ke dalam vagina atau dubur mangsa hanya satu faktor, maka perogol yang sudah dikembiri kimia mungkin tidak akan mengalami ereksi.

“Tetapi ini tidak bermakna pemangsa tidak boleh mendapatkan kepuasan seksual menerusi cara lain,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata bagi pesalah seks, kepuasan seksual juga boleh dicapai dengan memasukkan objek ke dalam vagina atau dubur mangsa, kemudian mengambil gambar untuk terus memalukan mereka.

Katanya, dalam kes ekstrem penyerang juga akan mencacatkan dan membunuh mangsa selain perbuatan fizikal lain yang kejam atau tidak berperikemanusiaan.

Sehubungan itu, katanya penyelesaian terbaik ialah menghukum perogol atau pesalah seks lain dengan tempoh penjara yang lebih panjang, dengan sebatan seperti dibenarkan undang-undang.

“Kita kena faham yang pengembirian kimia hanya membuang keinginan fizikal tetapi tidak cukup mengendalikan isu emosi dan mental.

“Pendapat saya ialah, penyelesaian terbaik ialah penjarakan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Amnesty International-Malaysia (AI-M) Shamini Darshni berkata Malaysia tidak patut mencontohi langkah Indonesia dalam memperkenalkan kembiri kimia.

“Penderaan seksual terhadap kanak-kanak memang menjijikkan dan mengerikan, tetapi mengembiri pesalah hanya menambah satu lagi bentuk kekejaman,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Azizah Mohd Dun berkata Putrajaya terbuka kepada cadangan untuk pengembirian kimia, sama seperti akta yang diluluskan di Indonesia bulan ini bagi hentikan pedofilia di negara ini.

PAUTAN;

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/20/kementerian-terbuka-cadangan-pengasian-kimia-kepada-pedofilia/