Kementerian siasat laporan OKU dikurung dalam kandang

rohani-cage

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menunggu laporan pegawainya yang dihantar ke sebuah rumah kebajikan di Perak yang penghuninya didakwa diletakkan dalam kubikel berpagar seperti kandang.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ia susulan laporan mengenainya yang viral di media sosial.

“Saya arahkan pegawai untuk ke tempat itu…saya kini menunggu laporan terperinci daripada mereka,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam satu program terbitan stesen televisyen Bernama News Channel hari ini.

Beliau berkata rumah kebajikan itu merupakan pusat penjagaan yang berdaftar.

Rohani bagaimanapun menegaskan kanak-kanak atau orang kurang upaya yang menjadi penghuni mana-mana pusat kebajikan harus dijaga dengan baik dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya hendak pastikan sama ada pusat kebajikan itu mematuhi SOP berkenaan,” katanya.

Dilaporkan seorang pengunjung ke rumah kebajikan kanak-kanak kurang upaya di Batu Gajah itu mendapati ada penghuninya diletak dalam “sangkar” khas, dan isu itu mendapat pelbagai reaksi netizen.

Warga cacat dikurung dalam kandang kerana tiada dana