KL lokasi mesyuarat tidak rasmi AS-Korea Utara

us-korean

Seoul: Sekumpulan bekas diplomat Amerika Syarikat mengadakan mesyuarat tertutup dengan pegawai kanan Pyongyang pada hujung minggu, ketika masyarakat antarabangsa menggemblengkan sekatan diplomatik dan ekonomi ke atas Korea Utara.

Mesyuarat 2 hari di Kuala Lumpur, yang disahkan kerajaan Korea Selatan dan AS, merupakan perbincangan terbaharu dalam siri rundingan yang umumnya dirujuk sebagai Track 2 dan dipantau ketat ekoran terputusnya hubungan rasmi antara Washington dan Pyongyang.

Pada Julai, Korea Utara memotong satu-satunya saluran hubungan diplomatik rasmi dengan Amerika Syarikat sebagai membalas sekatan AS ke atas pemimpinnya, Kim Jong-Un.

Sebelum ini, saluran New York itu titik pertemuan utama antara diplomat Korea Utara dan AS di PBB.

Peserta warga Amerika Syarikat di rundingan di ibu negara Malaysia termasuk Robert Gallucci, yang mengepalai pasukan rundingan AS untuk merundingkan pembekuan program persenjataan nuklear Pyongyang pada 1994.

Manakala di pihak Korea Utara adalah Naib Menteri Luar Negeri Han Song-Ryol, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan duta ke PBB.

Mesyuarat itu susulan tindakan Korea Utara menguji tembak peluru berpandu jarak sederhana pada Khamis dan ahli akademi Leon Sigal, pakar isu Korea yang menyertai rundingan itu berkata, program persenjataan nuklear Korea Utara mendominasi perbincangan itu.

Sigal memberitahu agensi berita Korea Selatan Yonghap bahawa Korea Utara menegaskan keperluan untuk memeterai perjanjian aman dengan AS sebelum beransur ke isu program nuklear.

AS bagaimanapun bertegas mahu pemansuhan program nuklear didahulukan, kata Sigal.

Di bawah pentadbiran Barack Obama, Amerika Syarikat mengelak daripada perbincangan rasmi dengan Korea Utara, namun menjelang perubahan tampuk kepimpinan di White House, spekulasi sama ada pentadbiran baharu akan mengambil pendekatan berbeza bertiup kencang.

Pengkritik dasar AS berkata sekatan dan pendekatan tidak berunding gagal membendung cita-cita Korea Utara untuk memperoleh keupayaan persenjataan nuklear yang mampu mengugat tanah besar AS.

Korea Selatan, yang menyokong pendekatan keras AS terhadap Pyongyang, menegaskan perbincangan dengan pihak Korea Utara tidak melibatkan kerajaan.

“Kami sedar kerajaan AS mengekalkan pendirian tegas bahawa sebarang perbincangan tanpa iltizam di pihak Korea Utara untuk memansuhkan program nuklear hanya mewajarkan tingkah laku mereka,” kata pegawai kementerian luar negeri kepada AFP.

Majlis Keselamatan PBB ketika ini sedang membincangkan resolusi baharu untuk menghukum Korea Utara kerana uji tembak nuklear kelima pada September — selepas sekatan ekonomi yang keras dikenakan selepas uji tembak keempat pada Januari.

Sekali sekala perbincangan Track 2 akan mengambil tempat, sebelum ini di Singapura, Berlin, Beijing dan negara lain.