Ku Li tidak setuju senaraihitam syarikat sokong Bersih

ku-liKUALA LUMPUR: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah membantah cadangan agar syarikat yang didakwa menaja perhimpunan Bersih 5 disenaraihitam daripada kontrak kerajaan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata sumbangan boleh diberikan kepada mana-mana pihak asalkan tidak melanggar undang-undang.

“Saya tidak fikir ia langkah yang betul. Mana-mana pihak boleh menyumbang kepada mana-mana badan selagi ia tidak melanggar undang-undang atau perlembagaan,” katanya selepas berucap pada majlis pelancaran buku “The End of Umno?” di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang berbuat demikian.

“Saya akan minta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) untuk melihat semua latar belakang syarikat yang memohon kontrak kerajaan melalui mereka. Syarikat yang jelas menyokong perhimpunan haram akan disenaraihitamkan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dalam responnya berkata terkejut dengan cadangan tersebut dan berkata kerajaan tiada hak menghalang mana-mana pihak berbuat demikian.

Gabungan itu merancang mengadakan perhimpunan Bersih 5 pada 19 November bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan di samping menyiasat syarikat milik negara 1MDB.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/23/kerajaan-tiada-hak-senarai-hitam-syarikat-taja-bersih-kata-maria-chin/