Ku Li utamakan kebajikan pengundi
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata beliau tidak akan membenarkan keahliannya dalam Umno masuk campur dengan kedudukannya sebagai ahli Dewan Rakyat.
“Sebagai ahli Parlimen, saya mewakili pengundi saya, saya bersumpah untuk melindungi kebajikan mereka menerusi sumpah Parlimen,” katanya pada majlis pelancaran buku “The End of Umno? Essays on Malaysia’s Dominant Party” di kelab persendirian di sini, hari ini.
Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li berkata beliau setia menjadi ahli Umno sejak 54 tahun lalu dan berhasrat untuk terus bersama parti itu bagi menabur bakti pada Malaysia.
“Namun, saya tidak akan membenarkan ia bercampur dengan kedudukan saya sebagai ahli Dewan Rakyat,” katanya yang menjadi ahli Parlimen kawasan itu sejak 1974.
Katanya, sebagai ahli Parlimen tugasnya menegakkan perlembagaan.
“Ini sumpah yang diangkat di Dewan Rakyat. Tidak dinafikan tugas saya kepada negara dalam menegakkan perlembagaan perlu didahulukan sama juga seperti untuk Umno,” katanya.
Beliau berkata untuk parti terus kekal relevan, Umno perlu menerimanya dan kekal setia kepada keluhuran perlembagaan.
Ku Li yang pernah menubuhkan Semangat 46 selepas pemilihan pada 1987 yang berpecah-belah hingga diisytiharkan tidak mengikut undang-undang, berkata sebagai ahli politik beliau sentiasa menjadi ahli parti Melayu itu.
“Pengkritik akan mendorong perhatian umum kepada Semangat 46. Mereka lupa untuk beritahu anda yang pengikut dan rakan daripada Umno tidak pernah keluar tetapi dihalang daripada bersatu semula dengan yang lain dalam tempoh susulan pasca kejatuhan Umno pada 1987.
“Antaranya ialah pemimpin seperti bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn,” katanya.
Ku Li menyertai Umno pada 1962 dan menjadi bendahari parti dan naib presiden parti. Beliau gagal mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan tertinggi parti.
Beliau kembali menyertai Umno Baru pada 1996 selepas pembubar Semangat 46 atas nama perpaduan Melayu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram