Orang Islam turut tentang ‘RUU Hadi’, kata Siti Kasim

siti-kassim

KUALA LUMPUR: Peguam aktivis Siti Kasim hari ini berkata terdapat kekurangan terhadap perlindungan Perlembagaan bagi umat Islam di negara ini, terutama selepas pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan undang-undang Syariah setaraf dengan undang-undang sivil.

Peguam lantang itu berkata, walaupun Islam adalah dilindungi di bawah Perlembagaan, mereka tidak boleh membuat tuntutan ke atas isu-isu Islam melalui undang-undang sivil kerana “badan kehakiman kurang keberanian”.

“Tiada hakim akan melihat kes ini dari perspektif undang-undang. Sebaliknya mereka meminta kes itu dibicarakan di Mahkamah Syariah,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan membantah rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibentangkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, untuk membolehkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

Siti membawa kira-kira sedozen penunjuk perasaan yang berkumpul seawal 9 pagi di luar bangunan Parlimen, membawa sepanduk dengan mesej “Islam itu indah”, “Melayu bukan Pak Turut “, dan “#RejectAct355 Saya adalah seorang Muslim dan saya tidak menyokongnya”.

RUU yang dijadualkan diperbahaskan di Dewan Rakyat hari ini, mengundang kritikan pelbagai kumpulan masyarakat sivil dan parti-parti komponen Barisan Nasional, yang mengatakan ini adalah sebahagian usaha PAS untuk akhirnya memperkenalkan hudud di Kelantan.

Beberapa kumpulan Islam termasuk mufti menggesa ahli Parlimen beragama Islam menyokong dan mengundi RUU itu.

Siti berkata keengganan badan kehakiman terlibat dalam kes-kes berkaitan Islam, membiarkan nasib orang Islam di tangan hakim syariah.

Beliau mengingatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 80-an, yang memberikan Mahkamah Syariah kuasa lebih luas termasuk menangkap orang Islam yang meminum arak atau mereka berkhalwat.

“Ia adalah dosa peribadi,” kata Siti.

Siti berkata terdapat banyak hak umat Islam lain yang memerlukan perhatian, seperti masalah dihadapi wanita iaitu kes perceraian.

“Belajar daripada pengalaman negara lain. Acheh, Arab (Saudi) dan Pakistan yang merupakan negara gagal,” kata Siti, merujuk kepada negara yang menjalankan hukuman mati Islam.

“Saya selalu meminta satu contoh sebuah negara yang mengamalkan undang-undang berteraskan agama dan berjaya. Tiada.

“Adakah kita rakyat Malaysia ingin menuju ke arah itu? Itulah sebabnya Melayu perlu bangkit. Jangan takut kerana ia tidak bertentangan dengan undang-undang untuk mempertahankan hak anda,” katanya.

Siti turut mempersoalkan dakwaan PAS dan lain-lain yang RUU itu berdasarkan undang-undang Allah.

“Marilah kita buka hal ini kepada perbincangan jika ia benar-benar undang-undang Tuhan. Kami tidak cuba untuk menghancurkan Islam tetapi untuk memperkasakannya.

“Kami mahu menunjukkan Islam adalah indah dan tidak semata-mata mengenai hukuman. Ia mengenai pendidikan dan keadilan.”