Warga cacat dikurung dalam kandang kerana tiada dana

mentel

PETALING JAYA: Rumah kebajikan dipaksa mengurung sesetengah penghuni kurang upaya dalam kandang pada waktu malam kerana ketiadaan dana untuk bina bilik untuk semua warganya.

Pengerusi Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Batu Gajah Sivalingam Ramasamy berkata pada waktu malam penghuni kurang upaya terbabit akan mengigit dan mencucuk mata warga lain semasa mereka tidur.

“Kita terpaksa pisahkan untuk keselamatan penghuni lain tetapi oleh kerana peruntukan kami kecil, kami tiada cara lain kecuali masukkan mereka dalam kandang,” katanya.

Kira-kira 10 orang dikurung dalam kandang pada waktu malam.

Rumah kebajikan itu mempunyai 47 penghuni kurang upaya yang berumur antara 15 dan 60, dan hanya 6 pekerja sepenuh masa bersama beberapa sukarelawan kurang upaya untuk memantau mereka.

Sivalingam berkata kekurangan dana menyebabkan mereka hanya membayar pekerja dengan elaun kecil yang tidak mencukupi untuk mengekalkan mereka.

“Tak cukup pekerja untuk pantau semua warga malah ada yang akan berhenti.”

Amalan mengurung warga kurang upaya dalam sangkar bermula sejak 2009 dan menurut pihak pengurusan, Jabatan Kebajikan maklum akan perkara itu.

“Kami sediakan tilam, selimut dan bantal tetapi ada dalam kalangan mereka buang tilam itu.

“Kalau saya ada sumber, pertama saya akan ambil lebih ramai pekerja supaya warga boleh dipantau dengan lebih dekat, dan saya akan bina lebih banyak bilik untuk mereka.

“Pada ketika ini, tak cukup wang untuk bina bilik untuk kesemua 47 warga kami.”

Cerita warga cacat dikurung dalam kandang mula dilaporkan World of Buzz apabila seorang pelawat, yang dikenali sebagai ‘Vivian’ berkunjung untuk melihat ibu saudaranya di rumah itu.