Zahid hadir upacara penghormatan terakhir Henry Chin

zahid-hamidi

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam menghadiri upacara penghormatan terakhir bekas ketua polis Kuala Lumpur mendiang Tan Sri Henry Chin di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi di sini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri meluangkan kira-kira 40 minit di pusat peringatan itu.

Upacara itu, yang bermula pada 6 petang tadi, dihadiri anggota keluarga, rakan rapat mendiang serta warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar, yang turut memberi penghormatan terakhir, menyifatkan mendiang sebagai seorang yang sabar dan sentiasa sedia berkhidmat.

Beliau berkata Chin tidak pernah membantah sekiranya diarahkan bertugas di mana-mana tempat atau operasi sepanjang beliau berkhidmat dengan PDRM.

“Pertama kali saya berjumpa mendiang adalah semasa konfrontasi pemberontakan negara jiran di Tawau pada hujung 1963. Ketika itu, mendiang merupakan ketua polis Tawau,” katanya kepada pemberita di pusat peringatan itu.

Hanif berkata sejak pertemuan itu, Chin menjadi rakan baiknya.

Turut hadir bekas ketua hakim negara Tun Zaki Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Dr Rujhan Mustafa.

Mayatnya akan diterbangkan ke Kota Kinabalu, Sabah dengan penerbangan yang dijadualkan pada 1.55 petang ini.

Chin, 79, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 6.04 pagi akibat strok.

Beliau meninggalkan isteri Puan Sri Shirley Cheng Hua Chien, 72, serta sepasang anak lelaki dan perempuan.

Mendiang berkhidmat dengan PDRM lebih 38 tahun sebelum bersara pada 1993.