Mahkamah India batal larangan wanita ke makam di masjid Mumbai

masjid-ali

NEW DELHI: Wanita kini dibenarkan melawat makam tokoh sufi di sebuah masjid bersejarah di India, selepas mahkamah membatalkan larangan yang dikuatkuasakan sejak 2011.

Sebelum ini, wanita dilarang menjejakkan kaki ke makam di Masjid Haji Ali, Mumbai kerana kehadiran mereka disifatkan “dosa besar” dalam Islam.

Pemegang amanah merayu Mahkamah Agung menterbalikkan perintah sebuah mahkamah pada Ogos lalu, keputusan yang dibuat atas alasan larangan itu melanggar hak perlembagaan kesaksamaan.

Bagaimanapun, pemegang amanah pada Isnin memberitahu Mahkamah Agung yang mereka kini mengakui wanita, tetapi memerlukan beberapa minggu untuk membina kawasan kemasukan khas ke makam dalam bangunan abad ke-15 itu.

“Pemegang amanah memutuskan untuk membenarkan wanita memasuki kawasan menempatkan makam itu,” kata peguam, Gopal Subramanium kepada mahkamah.

Sebuah kumpulan hak wanita Islam menyambut baik keputusan itu dan berkata, kemenangan itu mungkin memberi tekanan kepada tempat ibadat lain yang melaksanakan larangan terhadap wanita.

“Ia adalah kemenangan untuk hak wanita,” kata Noorjehan Niaz, pengasas bersama Bharatiya Muslim Mahila Andolan yang memperjuangkan hal wanita Islam di India.

“Ia mengembalikan nilai-nilai Islam yang kita sentiasa pegang sebagai umat Islam, iaitu ia adalah agama kesamaan, demokrasi dan hak wanita,” katanya kepada AFP.

Niaz adalah salah seorang pempetisyen yang memfailkan kes terhadap pemegang amanah Masjid Haji Ali berdasarkan perlembagaan.

Golongan wanita di India mempergiatkan kempen untuk mendapatkan kebenaran memasuki kuil Hindu dan tempat ibadat lain.

Ratusan wanita mengadakan protes dengan berarak ke sebuah kuil di Maharashtra, Januari lalu, sebelum Mahkamah Tinggi di Mumbai membatalkan larangan wanita memasuki sebuah tempat suci di negeri itu.

Faktor yang mengubah pendirian pemegang amanah dalam kes terbaharu itu bagaimanapun tidak jelas.

Tetapi, Mahkamah Agung ketika mendengar rayuan itu berharap pendekatan “progresif” dapat digunakan, lapor Press Trust of India.

Masjid Haji Ali adalah satu daripada mercu tanda paling dikenali di Mumbai dan dikunjungi puluhan ribu umat Islam, penganut Hindu dan pelancong setiap minggu.

Masjid itu terletak di sebuah pulau kecil yang boleh diakses melalui tambak ketika air surut. Ia dibina bagi memperingati seorang umat Islam kaya yang menyerahkan harta bendanya dan pergi menunaikan haji di Mekah.