Menteri sahkan Sungai Semenyih tidak disabotaj

wan-junaidi_sungai-semenyih_600

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar tidak menemui sebarang unsur sabotaj dalam siasatan awalnya mengenai pencemaran Sungai Semenyih, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Jaafar.

“Sehingga sekarang, dalam siasatan kami tidak menjumpai apa-apa, namun kami tidak menolak sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ahad lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan “kecenderungan unsur sabotaj” oleh Barisan Nasional dan Umno untuk melemahkan kerajaan negeri memandangkan pilihan raya sudah hampir.

Azmin berkata laporan polis dibuat Lembaga Urus Air Selangor bagi menyiasat pencemaran sungai berkenaan.

Wan Junaidi berkata kementeriannya memandang serius dakwaan Azmin dan berharap kerajaan negeri dapat mengemukakan bukti yang kukuh kepada pihak berkuasa.

Wan Junaidi berkata mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan sabotaj secara sengaja terhadap tempat tadahan air boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.

“Sabotaj ini merupakan kes serius dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang darurat kerana ia melibatkan lebih 2 juta pengguna air,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berharap isu pencemaran sungai berkenaan tidak dipolitikkan kerana sumber air merupakan keperluan utama orang ramai.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/24/buktikan-kami-sabotaj-air-selangor-kata-adun-bn/