MIC kecewa tak cukup hiasan Deepavali di Klang

tmohan_tengku-kelana

KLANG: MIC bersedia membantu menghias kawasan Little India di Jalan Tengku Kelana di sini dengan kain pemidang dan sepanduk perayaan menjelang sambutan Deepavali jika inisitiaf itu tidak dilakukan oleh kerajaan Selangor.

Naib Presiden MIC Datuk T. Mohan turut kecewa berikutan kurangnya bahan perhiasann dan suasana suram di kawasan itu walaupun Deepavali akan disambut tidak lama lagi.

“Kami bersedia membantu menghias kawasan Little India jika kerajaan Selangor memberi kebenaran kepada kami. Deepavali, juga dikenali sebagai Pesta Cahaya, sepatutnya diraikan dalam suasana ceria seperti namanya itu.

“Dan Litte India juga tidak terkecuali, perlu bergemerlapan dengan lampu jalan dan hiasan bagi meraikan perayaan Deepavali,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada kira-kira 400 anak yatim dan orang kurang upaya.

Pengerusi Persatuan Usahawan Little India Klang, N.P. Raman semalam menyatakan kekecewaan dengan suasana di sepanjang Jalan Tengku Kelana yang membariskan bangunan kedai sebelum perang yang terlalu suram tanpa perhiasan dan susasana kemeriahan sambutan perayaan.

Raman mendakwa tiada inisiatif dilakukan oleh kerajaan Selangor untuk mengindahkan kawasan Little India sejak pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri.