Wanita dipecat kerana bertudung, mahkamah Switzerland arah bayar pampasan

bertudung-menag

GENEVA: Mahkamah di Switzerland buat julung kalinya dalam tempoh 26 tahun mengarahkan sebuah syarikat membayar pampasan kepada seorang pekerja yang dipecat hanya kerana beliau bertudung.

Bulan lalu, sebuah mahkamah di Bern mengarahkan sebuah syarikat cucian kering membayar tunggakan gaji dan kerosakan kepada seorang wanita Serbia yang dipecat tanpa alasan munasabah.

Akhbar Le Matin Dimanche melaporkan pekerja 29 tahun yang dikenali sebagai Abida itu dipecat pada Januari 2015, selepas 6 tahun bekerja dengan syarikat itu dan mula bertudung.

Majikannya di Bern mendakwa tudung melanggar peraturan kebersihan dan memintanya membuka tudung atau beliau akan diberhentikan.

Wanita itu dilaporkan berjanji akan mencuci tudungnya setiap hari atau memakai tudung pakai buang, majikannya bagaimanapun enggan bertolak ansur.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan syarikat terbabit melanggar hak kebebasan bersuara di bawah perlembagaan.

Majikan hanya boleh memecat pekerjanya jika pemakaian tudung menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan tugas seperti dinyatakan dalam kontrak pekerjaan atau jika ia “mendatangkan kesan besar” kepada persekitaran kerja.

Ini adalah kes pertama di Switzerland dalam tempoh 26 tahun, selepas seorang pengeluar mesin di timur negara itu turut didapati bersalah memecat seorang pekerja bertudung, pada 1990.

Keputusan mahkamah itu disambut baik beberapa kumpulan Islam, termasuk Onder Gunes daripada Persekutuan Pertubuhan Islam di Switzerland yang berkata, kecekapan pekerja sepatutnya menjadi kriteria di tempat kerja, bukannya cara mereka berpakaian.