Akta Bekerja Sendiri lindungi pemandu teksi dilaksana 2017, kata menteri

richard-riot-teksi-perkeso

KUALA LUMPUR: Akta baharu dikenali sebagai Akta Bekerja Sendiri bertujuan mengurus tadbir skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pemandu teksi akan dilaksanakan tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, rang undang-undang berkaitan akta itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Mac depan.

“Saya percaya akta ini sangat mudah dan akan mengambil masa sebulan atau 2 bulan untuk diluluskan,” katanya selepas merasmikan penjenamaan semula Perkeso 2016, hari ini.

Riot berkata, akta itu jika diluluskan kelak akan memastikan pemandu teksi dan waris menerima faedah seperti dinikmati pekerja lain yang berada di skim kontrak bagi perkhidmatan.

Dalam pembentangan Bajet 2017 Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan skim Perkeso kepada pemandu teksi individu berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan akan diperkenalkan dengan geran pelancaran RM60 juta.

Najib yang juga menteri kewangan berkata, di bawah skim itu, pemandu teksi perlu membuat caruman pada kadar RM157 hingga RM443 setahun, iaitu hanya RM13.08 sebulan.

Mengulas lanjut mengenai kaedah potongan skim tersebut, Riot berkata, kementerian dan Perkeso akan membuat kajian terperinci bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada pemandu teksi atau pewarisnya.

“Lebih-lebih lagi teksi adalah di bawah seliaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kita membuat perbincangan dengan mereka dan akan mengadakan perbincangan selanjutnya untuk memastikan skim baharu ini memberi manfaat kepada pemandu teksi individu dan waris,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya mengerakkan skuad Perkeso Prihatin untuk mendapatkan maklumat mengenai nilai pampasan setimpal bagi mangsa dan petugas, susulan insiden kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, semalam.

Skuad Perkeso Prihatin antara langkah penjenamaan semula Perkeso bertujuan melaksanakan gerakan proaktif cepat dan responsif terhadap kes-kes dilaporkan media.

Antara usaha penjenamaan semula lain yang bermula akhir 2015 ialah memperkenalkan logo Perkeso Prihatin, memperkasakan mutu perkhidmatan di kaunter dan mempromosikan skim-skim perlindungan keselamatan sosial sedia ada.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/21/pemandu-teksi-dapat-permit-individu-geran-rm5000/