Beri data telus pelajar terbabit dadah, kata menteri

Mahdzir KhalidBANGI: Kementerian Pendidikan memerlukan laporan dan data yang telus dari sekolah dalam kategori berisiko tinggi dadah bagi merangka pendekatan menangani kes penyalahgunaan dadah di sekolah, kata menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata secara umumnya sekolah sering mengemukakan laporan atau data yang menggunakan perkataan “anggaran atau dianggarkan”.

“Jika dalam kelas itu 7 orang terlibat maka pihak sekolah secara telus perlu nyatakan maklumat peribadi individu tersebut dengan tepat dan lengkap, ertinya tiada lagi perkataan anggaran seperti sebelum ini,” katanya.

Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan pentauliahan kaunselor agensi kaunseling dan pengurusan kredit kepada 260 penerima pada Seminar Psikologi dan Kaunseling sempena Hari Psikologi 2016 di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan berhubung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah apabila kajian Kementerian Pendidikan mendapati seramai 1,457 pelajar mengaku mengambil dadah.

Kajian membabitkan 35,755 responden merangkumi pelajar tingkatan 1 hingga 6 itu juga menunjukkan pelajar tingkatan 5 mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6% dengan Kedah menjadi negeri paling tinggi pelajarnya mencuba dadah iaitu 274 pelajar.

Mahdzir berkata data atau laporan yang dikemukakan sekolah bukan saja untuk tindakan Kementerian Pendidikan malah ia mungkin boleh digunakan untuk meminta penglibatan polis.

Beliau berkata kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar masih berlaku walaupun sekolah dan kaunselor bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan beberapa pihak lain dalam mengatasi gejala tersebut.

Mahdzir dalam pada itu berkata satu perbincangan turut diadakan bersama Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof mengenai penambahbaikan dalam kaedah pemberian khidmat kaunseling kaunselor di sekolah.

“Kita merasakan cara yang digunakan sudah tidak begitu berkesan dan perlu diubah, namun akur perubahan yang diinginkan akan mengambil masa kerana perlu melibatkan perbincangan serius dengan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.