BSN lelong rumah OKU, PSM hantar memorandum ke Bank Negara

Balan-Perumal-1

KUALA LUMPUR: Parti Socialis Malaysia (PSM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Bank Negara selepas Bank Simpanan Nasional (BSN) melelong sebuah rumah lelaki kurang upaya tanpa sebarang notis.

Balan Perumal, yang lumpuh dari pinggang ke bawah akibat kemalangan di tempat kerja, berkata masalah dengan bank itu bermula pada Julai tahun lalu ketika dia membeli rumah di Taman Seremban Jaya dan membayar bayaran ansuran bulanan sebanyak RM700 pada BSN.

“Saya maklumkan pada BSN masalah saya adan mereka tahu saya masih dalam proses menuntut insurans. Kenapa teruskan juga melelong rumah saya?

“Ini tidak adil untuk orang kurang upaya seperti saya. Mereka melelong rumah saya tanpa notis,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan berkata Balan membayar ansuran bulanannya tepat pada masa setiap bulan, dan layanan seperti ini tidak adil kepadanya.

Katanya, Balan berhenti membayar ansuran bulannya apabila adiknya, Devi Perumal berkata beliau bertemu seorang pegawai di ibu pejabat BSN dan memberitahu Balan memohon tuntutan insuransnya yang boleh digunakan untuk membayar ansurannya.

Bagaimanapun, Arutchelvan berkata rumah Balan sudah siap untuk dilelong sebelum permohonan insurans itu diluluskan.

“Ini tidak adil. Dia dinafikan insurans hanya kerana masalah teknikal, dan pihak insurans berkata dia boleh merayu hingga Jun 2016. Tetapi, rumahnya sudah pun dilelong pada Februari 2016,” katanya.

Terdahulu, PSM menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendesak mereka masuk campur dalam perkara itu.