Danish si peminat tegar Lego meninggal dunia

Legoland-For-Danish

PETALING JAYA: Muhammad Danish Maarif, kanak-kanak 11 tahun penghidap kanser dan peminat tegar Lego, kini sudah tiada lagi di dunia ini.

The Star Online melaporkan kanak-kanak itu, yang menderita kanser tulang osteosarcoma, meninggal dunia di rumahnya di Kuala Selangor pada 4 pagi hari ini.

Menurut laporan itu, Danish tidak berupaya untuk makan atau minum sejak Isnin, dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur di mana dia diberikan susu menerusi tiub makanan pada malam berkenaan.

Dia dibenarkan keluar dari hospital semalam dan meninggal dunia pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan Wan Shahriza Wan Ab Rahman, daripada sepasukan rakyat Malaysia yang prihatin bagi “Legoland untuk Danish” – projek yang berhasrat membawa kanak-kanak itu peluang melihat Legoland secara dekat – di rumahnya sendiri kerana terlalu lemah untuk berkunjung ke taman tema itu.

Ketika mendengar yang kanak-kanak itu menyukai Lego daripada ibunya, Wan Shahriza pada bulan lalu memulakan inisiatif kempen di Facebook dengan bantuan beberapa pihak lain. Matlamatnya ialah untuk membawa Legoland kepada Danish, jika dia tidak dapat ke taman tema itu.

Mereka meminta “derma” Lego daripada orang awam – untuk membawa sebanyak mungkin Lego kepada kanak-kanak itu.

Pada ketika kempen itu dimulakan, doktor sudah pun menghentikan rawatan kemoterapi kepada kanak-kanak itu, kerana “sudah tiada apa lagi” yang mereka boleh lakukan untuknya secara perubatan.

Satu daripada kaki Danish pada ketika itu terpaksa dipotong, satu paru-parunya dikeluarkan dan sebahagian lagi dikikis.

Di sebalik penderitaannya, Danish sering tersenyum, dan ia terbukti dalam kebanyakan gambarnya yang disiarkan di media.

Kempen itu turut mendapat perhatian Lego dan Legoland Malaysia sehingga mereka membaw Legoland ke rumah Danish pada 28 September lalu.

Tiga maskot, Darth Vader, Lego Builder dan Lego Policeman turut dibawa melawat kanak-kanak itu dan pasukan dari taman tema itu turut menghias biliknya dengan tema pengembaraan, menyerupai bilik hotel di Legoland di Johor.

The Star turut memetik Pengurus Lego Malaysia Dick Yoong yang menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga Danish.

Legoland ‘masuk’ bilik Danish penuhi permintaan terakhir