Laporan IPAC: Militan Mindanao dapat dana, pengajar dari Malaysia

abu-syyaf

KUALA LUMPUR: laporan Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC) mendedahkan 4 kumpulan militan menyokong IS mendapat pejuang, tenaga pengajar atau dana dari Malaysia serta Indonesia.

Laporan bertajuk “Kumpulan pro-(IS) di Mindanao dan Kaitan mereka dengan Indonesia serta Malaysia” itu menyatakan kumpulan terbabit akan memberikan perlindungan, tapak latihan, pengalaman pertempuran atau senjata api sebagai balasan.

Menurut Jakarta Post, laporan yang baru dikeluarkan itu menunjukkan sokongan untuk pergerakan radikal IS semakin menebal dalam kalangan pelampau di Asia Tenggara.

Laporan itu menyatakan adalah penting untuk agensi penguatkuasaan di rantau ini mempunyai kepakaran dalam kumpulan-kumpulan di luar sempadan mereka, khasnya di Mindanao.

“Sejak 2 tahun lalu, (IS) memberi asas baru untuk kerjasama dalam kalangan pelampau di rantau ini,” kata Pengarah IPAC, Sidney Jones kepada Jakarta Post, semalam.

“Kerjasama itu boleh mengambil kepentingan baru ketika (IS) hilang kuasa di Timur Tengah dan insentif melakukan keganasan di tempat lain meningkat.”

Laporan IPAC memberi amaran lebih ramai pejuang boleh tertarik kepada Filipina sebagai pilihan IS, ketika ia terpaksa berundur dari Syria dan Iraq.

“Disebabkan pejuang Asia Tenggara semakin sukar ke Syria, Mindanao mungkin menjadi pilihan berikutnya. Bezanya ialah lebih mudah untuk mereka pulang ke rumah,” katanya.

Laporan IPAC mengkaji 4 kumpulan pro-IS di Mindanao dan bagaimana setiap kumpulan itu dikaitkan dengan operasi dari negara lain di rantau ini.

Mereka ialah Kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Basilan (ASG), Ansarul Khilafa Philippines (AKP), kumpulan Maute di Lanao del Sur dan Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

Laporan itu turut meneroka sejarah kaitan Indonesia-Malaysia dengan setiap kumpulan di Filipina itu, bagaimana hubungan mereka terjalin lebih sedekad lalu dengan berkongsi pengalaman penjara atau berjuang dalam konflik perkauman di Indonesia pada 1999 hingga 2000, kembali memainkan peranan dalam menyokong IS.

Menurut laporan itu, beberapa bukti menunjukkan kumpulan Maute dan AKP menggunakan nama IS untuk menarik minat pelajar universiti, di mana hubungan rentas rantau mungkin lebih baik, jika pelampau di Mindanao mampu menarik kemasukan golongan berpendidikan dan celik komputer.