China adakan latihan ketenteraan di Laut China Selatan

screenBEIJING: China akan menjalankan latihan ketenteraan sepanjang hari pada Khamis (27 Oktober), menurut pengurusan keselamatan maritim negara itu pada Rabu, dan mengarahkan semua perkapalan supaya menjauhi kawasan latihan.

China kerap melakukan latihan ketenteraan di laluan rebutan itu, dan latihan terbaharu ini menyusul beberapa hari selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat belayar berhampiran Kepulauan Paracel, dan diberi amaran oleh kapal perang China supaya beredar.

Pengurusan maritim memberi koordinat kawasan di selatan wilayah Hainan dan barat laut Kepulauan Paracel, yang dituntut Vietnam dan Taiwan, tapi dikuasai China.

Kenyataan ringkas itu tidak memberikan perincian lain, kecuali melarang kapal lain daripada memasuki kawasan itu.

Kementerian Pertahanan China tidak respon ketika dihubungi.

China mempunyai landasan kapal terbang di Pulau Woody, penumpuan terbesarnya di Kepulauan Paracel, dan meletakkan peluru berpandu permukaan ke udara di situ, menurut pegawai Amerika Syarikat.

Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam semua merebut kawasan Laut China Selatan, tetapi kawasan tuntutan Beijing paling luas antara semua. China berkata ia berhak berbuat apa sahaja di pulau berkenaan kerana ia milik China sejak dahulu kala.