Nasihat pendakwah AS Nouman Ali Khan kepada pendakwah Malaysia

nouman

KANGAR: Pendakwah harus mengelak bercakaran sesama sendiri semata-mata untuk mempertahankan pendapat masing-masing, sebaliknya menggunakan pengetahuan agama dan kebijaksanaan bagi menyatukan umat Islam.

Pendakwah yang tersenarai antara 500 umat Islam berpengaruh di dunia, Nouman Ali Khan berkata, kumpulan pendakwah yang bertentangan pendapat dalam menyampaikan ajaran Islam bukan perkara baharu.

“Janganlah lihat kepada umat Islam, tetapi lihat pada ajaran Islam yang indah dalam mencari kebenaran,” katanya ketika menjawab soalan hadirin pada sesi ceramahnya di Hotel Seri Malaysia di sini, malam tadi.

Ceramah kira-kira sejam oleh pendakwah dari Dallas, Amerika Syarikat itu disampaikan dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh jurubahasa.

Nouman berada di Perlis buat kali ke-2 untuk memberi ceramah sempena Fiesta Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berakhir malam tadi.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan hadir.

Program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Mufti Perlis itu turut dihadiri kira-kira 100 orang pendakwah dari luar Perlis.

Nouman berkata, badan bukan kerajaan (NGO) Islam wajar memainkan peranan menyatukan pendakwah-pendakwah yang bergerak atas pelbagai platfom.

“Hari ini, agama menjadi industri dengan pasaran yang penuh dengan persaingan sengit, termasuk bagi mencari pengaruh. Jadi, kita tidak boleh biarkan propaganda jahat anti Islam mengambil kesempatan,” katanya.

Nouman berkata, golongan elit intelektual tertarik kepada kebijaksanaan atau hikmah, manakala majoriti memerlukan nasihat baik atau maw’izah.

“Kedua-dua golongan ini hendaklah dihadapi dengan pendekatan berbeza dan cara baik. Dakwah bukan kaku kerana setiap kumpulan ada cara penyelesaian masing-masing,” tambahnya.

Nouman turut mempersembahkan buku karangan beliau bersama Sharif Randhawa berjudul ‘Divine Speech – Exploring The Quran As Literature’ kepada Raja Perlis dan Raja Muda Perlis pada akhir ceramahnya.