Pembangkang tidak boikot mesyuarat PAC, kata pengerusi

hasan-arifin-PACPETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menepis dakwaan mesyuarat jawatankuasa diboikot wakil rakyat pembangkang.

Beliau menjelaskan semua mesyuarat sebelum ini berlangsung dengan korum mencukupi, dan semua yang tidak hadir kemuka alasan munasabah.

“Isu boikot tidak timbul kerana wakil pembangkang hadir dalam mesyuarat PAC dan yang tidak hadir memaklumkan sebab yang tidak dapat dielakkan,” kata Hasan dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, korm untuk PAC bersidang adalah tiga orang termasuk pengerusi.

“Semua mesyuarat yang telah diadakan cukup korum,” kata Hasan.

Malaysiakini memetik sumber mereka melaporkan wakil rakyat pembangkang dan seorang ahli Parlimen BN tidak menghadiri beberapa mesyuarat, dipercayai kerana tindakan Hasan mengeluarkan ayat penting dalam laporan jawatankuasa berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), William Leong (PKR-Selayang) dan Datuk Kamarul Baharin Abbas Shah (Amanah-Teluk Kemang) antara yang dinamakan dalam laporan itu.

Menurut Malaysiakini, Tony Pua mengesahkan mereka memboikot mesyuarat itu.

“Ahli PAC dilantik Parlimen dan atas sebab itu diharap sama ada ahli BN atau pembangkang menghormati pelantikan yang dibuat oleh Parlimen sebagai tanggungjawab dan amanah,” jawab Hasan.

Sementara itu, mesyuarat hari ini melibatkan pengurusan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA).

Prosiding itu melihat prestasi kewangan dan pengurusan aktiviti Agrobank bagi memastikan ia mengikut tatacara kerajaan.

Tambil memberi keterangan adalah Ketua Setiausaha MoA Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha MoA Mohd Sallehhuddin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

“PAS secara keseluruhannya berpuas hati dengan penjelasan diberikan saksi-saksi yang hadir dan akan mengadakan mesyuarat penyediaan laporan PAC bagi mengemukakan rumusan serta syor dalam laporan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat,” kata Hasan.

Menurut Malaysiakini, Tony Pua nampaknya tidak berminat untuk mengikuti beberapa prosiding PAC nanti.

 

Report claims possible boycott of PAC chief