Penganjur minta maaf anjur Penang Run pada Deepavali

penang-run-2016

PETALING JAYA: Penganjur Penang Run 2016 hari ini memohon maaf kepada penganut beragama Hindu di negeri itu kerana menganjurkan larian pada hari ke-2 sambutan Deepavali, Ahad ini.

Andrew Loh Lean Hock dalam kenyataan hari ini berkata, acara itu dirancang Mac lalu dan pihaknya memilih 30 Oktober sempena cuti hujung minggu panjang bagi membolehkan peserta mengambil bahagian dalam larian berkenaan, selain serentak dengan kalendar perlumbaan kebangsaan.

“Ketika itu, saya tidak sedar 30 Oktober 2016 sehari selepas Deepavali.

“Saya amat kesal menganjurkan acara itu ketika sambutan Deepavali. Saya tidak bermaksud untuk tidak menghormati penganut beragama Hindu di Pulau Pinang,” katanya yang mewakili Actife Style Concept Sdn Bhd.

Loh berkata, ActifeStyle ialah penganjur utama larian itu, bukannya kerajaan negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang sekadar memberi bantuan teknikal kepada mereka.

Semalam, Loh melalui Facebook Actife Style berkata, Penang Run 2016 akan diteruskan kerana pembatalan larian itu tidak baik untuk kira-kira 2,000 peserta yang sudah mendaftar.

“Ini adalah Penang Run edisi ke-9 dan saya tidak boleh kecewakan semua 1,780 peserta yang sudah mendaftar dan tidak sabar menyertai larian ini.”

Katanya, hanya 56 daripada 1,780 peserta berdaftar terdiri daripada kaum India berbanding 38 orang pada edisi terdahulu.

“Kami hanya pencinta sukan yang menggalakkan sukan di kawasan kejiranan kami untuk kehidupan sihat dan persahabatan.

“Saya tidak pernah berniat untuk tidak hormat kepada mana-mana agama kerana saya sentiasa percaya sukan adalah aktiviti berbilang kaum bertujuan mencapai keharmonian dan keamanan.

“Ia perlu melangkaui politik atau sebarang campur tangan agama. Jumpa anda semua Ahad ini. Selamat menyambut Deepavali.”

Semalam, Naib Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, H Puvaniten membidas kerajaan negeri tidak sensitif terhadap penganut beragama Hindu dengan membenarkan penganjuran acara berkenaan ketika sambutan Deepavali.

“Dengan menganjurkan larian ini begitu dekat dengan Deepavali, anda menafikan peluang kaum India untuk menyertai program ini,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy pula mengarahkan penganjur memohon maaf kepada penganut beragama Hindu di negeri itu.

“Saya minta penganjur menangguhkan larian itu ke suatu tarikh lain. Saya juga meminta MBPP menjauhkan diri daripada menyokong ActifeStyle.”

Pada 2013, DAP dan Gerakan kecoh mengenai penganjuran Penang Run kerana ia diadakan ketika perayaan Thaipusam.