Perkeso bantu 14,000 pekerja cedera kembali bertugas

Dr Mohammed Azman Aziz MohammedKUALA LUMPUR: Lebih daripada 14,000 orang berjaya dipulihkan daripada kecederaan dan kembali bekerja semula melalui program “Return To Work” (RTW) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata program ini merupakan program pemulihan fizikal yang disediakan kepada Orang Berinsurans Perkeso yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan atau penyakit bagi mengembalikan fungsi anggota badan dan seterusnya kembali semula ke alam pekerjaan lebih awal, sihat dan selamat.

Program ini sudah bermula sejak 2007 dibiayai sepenuhnya oleh Perkeso.

Ia dijalankan di satu-satunya pusat rehabilitasi Perkeso di Bandar Hijau, Melaka yang mana doktor akan merawat, menjalankan pelbagai terapi bagi memastikan setiap masalah dan halangan Orang Berinsurans dapat diselesaikan dengan kadar segera melalui pendekatan yang terbaik.

“Perkeso akan membantu sebaik mungkin mereka yang ditimpa malang untuk bekerja semula demi mencari pendapatan keluarga,” kata Azman kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Perkeso 2016 malam tadi.

Sementara itu, anugerah Kualiti dan Inovasi Perkeso 2016 kali ini mempertandingkan kira-kira 14 anugerah yang melibatkan seluruh jabatan dalam Perkeso.

Ia bersempena sambutan Kemuncak Bulan Kualiti dan Inovasi secara langsung meraikan anggota-anggota yang telah menghasilkan inovasi menerusi menerusi cetusan kreativiti yang memperlihatkan transformasi dalam Perkeso.

Anugerah utama iaitu Anugerah Khas Inovasi Ketua Eksekutif Perkeso 2016 dirangkul oleh pejabat Perkeso Pulau Pinang yang membawa hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan piala pusingan.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Dalam ucapannya, beliau berkata inovasi merupakan faktor penting untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan berada di tahap yang terbaik.

“Sehubungan itu, usaha untuk menjadikan inovasi sebagai pemangkin untuk lebih cemerlang perlu diterapkan kepada semua penjawat awam di pelbagai peringkat bermula daripada pengurusan tertinggi sehinggalah kepada kakitangan kumpulan sokongan,” katanya.