Polis: Litar pintas punca ‘percikan api’ di hospital JB, bukan sabotaj

sulaiman-salleh_bakar_600

JOHOR BAHRU: Kekecohan yang berlaku di bangunan induk Hospital Sultanah Aminah (HSA) lewat tengah hari ini berpunca daripada litar pintas kecil akibat wayar terdedah terkena air dalam kerja pembersihan di tingkat 1, menurut polis.

Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan, susulan kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA di tingkat 2 semalam yang mengorbankan 6 nyawa dan mencederakan 4 yang lain.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, susulan itu, tingkat 1 bangunan induk hospital berkenaan ditutup 24 jam bagi tujuan kawalan dan pemantauan.

“Kejadian yang berlaku tidak melibatkan sebarang unsur sabotaj, keganasan dan jenayah,” katanya kepada pemberita di HSA, hari ini.

Kira-kira 1.45 tengah hari tadi, HSA gempar apabila pesakit dan kakitangan hospital diarahkan keluar dari bangunan induk dan dikumpulkan di kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan, selepas penggera kecemasan dikatakan berbunyi.

Sulaiman berkata, tingkat 1 bangunan induk itu antara lain menempatkan Dewan Bedah yang sedang diubahsuai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Othman Abdullah dalam kenyataan mengesahkan berlaku “percikan api” di tingkat 1, kawasan di bawah ICU yang terbakar semalam.

“Hal ini terjadi hasil daripada air yang mengalir semasa proses pembersihan kawasan tersebut yang mengenai plug elektrik,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasinya, Mohd Rizal Buang ketika ditemui di HSA berkata, sebuah jentera dengan 7 anggota akan ditempatkan di hospital itu sehingga kerja penyiasatan dan pembersihan selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau maklum mengenai kekecohan yang berlaku dan menasihati orang ramai, termasuk kakitangan hospital tidak panik.

“Sebenarnya, apabila berlaku kebakaran, bomba akan sembur air dan sebagainya. Maka, hari ini apabila ia hendak dioperasikan (semula) sepenuhnya, kemungkinan ada soket-soket ataupun pendawaian basah.

“Apabila basah dan ada elektrik, itu menyebabkan ada tindak balas lalu mewujudkan satu percikan api,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri di Bangunan Datuk Jaafar, hari ini.

Ayub berkata, proses mencuba semula sistem pendawaian di bangunan itu sedang dijalankan bagi memastikan ia boleh kembali berfungsi dengan baik atau sebaliknya.

“Saya turut dimaklumkan Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan dan HSA sentiasa memantau keadaan,” katanya.

Pesakit, kakitangan HSA sekali lagi diarah keluar bangunan

Tragedi JB paling buruk, insiden ke-8 hospital kerajaan

6 maut dalam kebakaran Hospital Sultanah Aminah di JB