Rohani: Kami tidak akan hukum, tetapi bantu pusat ‘kurung’ OKU

rohani-kandang

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak akan mengambil tindakan terhadap pemilik Rumah Kebajikan Kanak-kanak Cacat Perak (RKKC) di Batu Gajah, Perak yang menempatkan penghuninya di dalam kompartmen berpagar.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementeriannya akan membantu pengurusan rumah kebajikan itu, selain meningkatkan kesedaran bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Tidak adil untuk ambil tindakan. Saya rasa kesedaran itu perlu dilakukan. Tidak payah nak hukum selalu sangat, tetapi kami akan menolong mereka.

“Mungkin kami akan suruh mereka memperbetulkan pusat jagaan itu, selain memperbaharui status baru pusat jagaan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Tabung Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan kanak-kanak cacat dikurung di Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Batu Gajah, kerana “sangat bimbang” dengan layan diterima penghuninya.

Unicef berkata, semua dakwaan penderaan kanak-kanak perlu diambil serius dan disiasat dengan teliti.

Rohani berkata, walaupun ia merupakan rumah kebajikan berdaftar, namun lesennya dilihat tidak sesuai kerana penghuninya semakin membesar.

“Nak kata silap tidak juga. Tetapi, ini adalah evolusi masa, ia sepatutnya kanak-kanak, tetapi mereka bukan lagi kanak-kanak.

“Bila dewasa, prosedur operasi standard (SOP) itu lain sikit, mereka (pemilik pusat jagaan) harus datang ke JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan beritahu status mereka sudah berubah,” katanya sambil mengulangi pendiriannya yang tindakan menempatkan kanak-kanak di dalam kompartment berpagar bukan SOP kementeriannya.

Sebelum ini, FMT melaporkan kira-kira 10 penghuni rumah kebajikan terbabit yang menghidap penyakit mental kronik diletakkan dalam kompartmen menyerupai kandang, kerana didakwa membahayakan keselamatan penghuni lain.

Pengerusinya, Sivalingam Ramasamy berkata, pihaknya tidak mempunyai dana membina bilik untuk menempatkan semua 47 penghuni kurang upaya berumur 15 hingga 60 tahun, selain tidak mampu mengambil lebih ramai pekerja untuk memantau semua warganya.

Warga cacat dikurung dalam kandang kerana tiada dana

Unicef gesa Malaysia siasat dakwaan kanak-kanak cacat dikurung