Shafie, Husni tak faham isu Bandar Malaysia, kata Rahman

Rahman-Dahlan_shafie_husni

KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan persekutuan masih mempunyai kepentingan 76% di Bandar Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menafikan kenyataan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Shafie Apdal yang syarikat China mempunyai kepentingan 60% dalam projek itu.

“Saya meluahkan rasa kecewa kerana jelas beliau (Husni dan Shafie) tidak memahami apa yang berlaku dan langsung tidak faham mengenai penjualan Bandar Malaysia.

“Sebanyak 40% pada saham Bandar Malaysia milik kerajaan Malaysia. Daripada 60% yang kita jual kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), IWH memegang 60% daripada 60% itu.”

Ini mewakili 36% daripada keseluruhan saham Bandar Malaysia, kata Rahman.

“Bermakna 40% saham dicampur dengan 36% saham dipegang IWF, ia berjumlah 76%. Hanya 24% saja dipegang China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC),” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata beliau tidak pernah melihat situasi di mana menteri yang membuat keputusan dalam soal 1MDB akhirnya bertindak membantah keputusannya sebelum ini.

“Tak mengapalah, kita akan jawab soalan itu dengan jawapan yang dia berikan kepada kita pada sesi penjelasan.

“Kita mesti ada dignity, jangan tembak apa yang sendiri perkatakan. Sebagai menteri kewangan II dulu, dia tentu bertanggungjawab dalam segala keputusannya,” katanya.

Sebelum ini, Husni yang juga bekas menteri kewangan kedua di Dewan Rakyat mempersoalkan motif kerajaan menubuhkan 1MDB yang didakwanya menyaksikan banyak penggelapan berlaku tanpa dikenakan tindakan.

Husni yang juga ahli Parlimen Tambun mempertikaikan wang AS$4 bilion (RM16.69 bilion) dilaporkan dalam Aabar Investment PJS Ltd, yang tidak dimiliki IPIC.

IPIC dan anak syarikat Aabar Investments PJS dalam satu kenyataan bersama pada April berkata syarikat Kepulauan Virgin British itu yang mempunyai nama hampir sama, Aabar Investments PJS Ltd, “bukan entiti dalam kumpulan mereka”.

Rahman turut menafikan dakwaan Husni yang beliau tidak mendapat sebarang penjelasan daripada Kabinet mengenai 1MDB.

“Tidak, taklimat mengenai 1MDB banyak diberikan sewaktu dia terlibat secara langsung. Malah, setiap jawapan yang diajukan kepada Husni, mengenai 1MDB dia sendiri akan jawab,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/25/aneh-bila-husni-kemuka-isu-1mdb-di-parlimen-kata-tony/