Terfaktab? Baca betul-betul

terfaktabSHAH ALAM: Namanya sudah tentu mengundang pelbagai persoalan kerana menyerupai “slang” orang muda dalam perbualan harian mereka.

Bagaimanapun, pengurus Terfaktab Media pantas menjelaskan nama syarikat penerbitan buku itu tidak membawa maksud lucah seperti digunakan dalam bahasa Inggeris itu.

Sebaliknya, Syazrul Aqram, 29, berkata ia berasal daripada 3 perkataan: “Teras, Fakulti, Tabloid”.

“Teras adalah membawa maksud kepada teras penerbitan buku kami. Fakulti membawa maksud sistem penerbitan syarikat kami berasaskan perbincangan secara ilmiah. Manakala Tabloid membawa maksud kepada cara penyampaian penulisan buku kami dalam bentuk tabloid (kecil),” katanya ketika dikunjungi FMT.

Bermula daripada sebuah laman blog terfaktab.blogspot.com, Terfaktab melebarkan sayap selepas hasil penulisan cerpen dan puisi nukilan tempatan mendapat sambutan yang baik oleh pengikutnya di blog Terfaktab.

Ia mengambil keputusan menerbitkan hasil penulisan itu dikumpulkan itu dalam bentuk buku agar lebih mudah untuk pembaca memperolehnya.

Sejak memulakan operasi pada 2012, Terfaktab kini mengumpulkan 33 penulis khas yang diberi nama Skuad Terfaktab bagi menghasilkan karya penulisan untuk diterbitkan di bawah label tersebut.

Syazrul berkata Terfaktab menampilkan 5 jenis buku untuk pembacanya, iaitu Fine (Non Fiction), Line (Malay Fiction), Vine (English Fiction), Mine (Puisi) dan Zine (Koleksi), menyasarkan pembaca berumur 15 hingga 30 tahun.

Syazrul berkata cabaran dihadapi penulis tempatan adalah mereka sukar untuk mencari penerbit di Malaysia yang masih kurang.

“Ini menyukarkan mereka untuk menghasilkan lebih banyak penulisan untuk diterbitkan,” katanya.

“Kehadiran Terfaktab juga sedikit sebanyak telah menyumbang peningkatan kadar pembacaan buku oleh rakyat di Malaysia,” kata Syazrul sambil merujuk kajian rasmi 2005 menunjukkan rakyat Malaysia secara purata membaca 2 buku setahun.