17% pelajar SJKC bukan orang Cina, kata timbalan menteri

chong-sin-woon_sekolah_cina-600_1

PETALING JAYA: Sebanyak 17% pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara terdiri daripada kaum lain, kata timbalan menteri pendidikan.

Datuk Chong Sin Woon yang dipetik Nanyang Siang Pau berkata, di Sabah sahaja, 40% pelajar SJKC bukan berbangsa Cina.

Beliau berkata, keadaan itu dapat menjadikan masyarakat majmuk lebih harmoni dan bersatu padu, kerana kaum lain boleh memahami budaya kaum Cina ketika belajar di SJKC.

Katanya, pendidikan Cina tidak terhad kepada pendidikan orang Cina sahaja, sebaliknya ia adalah pendidikan pelbagai kaum.

“Walaupun yang belajar di SJKC bukan hanya anak Cina, tetapi kita perlu menggunakan mentaliti tiada perbezaan sosial untuk mengalu-alukan mereka dan menggalakkan lebih ramai orang belajar bahasa Cina.

“Kini, operasi sesetengah SJKC kecil disokong sepenuhnya pelajar bukan Cina, menyebabkan ada orang mengesyaki sama ada ia masih merupakan sekolah Cina,” katanya ketika menghadiri sebuah majlis di Melaka, semalam.

Chong berkata, semakin ramai pelajar di sekolah kebangsaan (SK) memilih mata pelajaran bahasa Cina kerana banyak SK mengadakan kelas mandarin.

Beliau yakin tidak kira di SJKC atau SK, lebih ramai pelajar akan memilih bahasa Cina kerana ia mempunyai nilai komersial dan sekolah menengah turut mengadakan kelas mandarin.

Bagaimanapun, katanya, guru SJKC berdepan cabaran dalam pengajaran disebabkan semakin ramai kaum lain memilih sekolah Cina dan mereka tidak pernah didedahkan kepada pendidikan Cina.

Chong berkata, walaupun menghadapi kesukaran mendidik pelajar bukan Cina, guru SJKC akan tetap memainkan peranan untuk mengajar setiap murid tanpa mengira bangsa dan agama mereka.