Ambulans terbakar 80% di Perak

ambulanceKUALA KANGSAR: Sebuah ambulans terbakar 80% di persimpangan lampu isyarat Taman Bunga Raya, di sini, malam tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar berkata, sebuah jentera dengan kekuatan 7 anggota berjaya mengawal kebakaran dalam masa 3 minit dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, ambulans tersebut yang membawa 2 kakitangan Hospital Kuala Kangsar dipercayai dalam perjalanan pulang dari Ipoh, apabila terbakar secara tiba-tiba sebaik sampai di tempat kejadian.

“Namun, kakitangan hospital yang berada dalam ambulans berjaya keluar dari kenderaan itu.

“Tiada pesakit dalam ambulans berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah operasi bomba memadam api pada ambulans itu tamat kira-kira jam 9.15 malam Rabu.