Anak Malaysia menang ‘Oscar’ ahli silap mata

merlin awardPETALING JAYA: Silap mata boleh menjadi lebih sekadar hobi. Ia adalah satu kebenaran bagi anak kelahiran Malaysia, Vikneswaran Allagu yang memiliki diploma dan ijazah dalam bidang silap mata.

Kecintaannya terhadap bidang itu bermula semasa beliau baru berumur 17. Kini, Vikneswaran atau atau lebih dikenali sebagai Vikey, 28, boleh berbangga kerana berjaya menerima Anugerah Merlin – anugerah tertinggi yang diberikan di peringkat antarabangsa dalam bidang silap mata dan ilusi.

Vikey berjaya menewaskan beberapa pesaing teratas dalam kategori “Best Magician Multi-Talented”, dalam satu majlis yang diadakan di Bangkok, Thailand minggu lepas.

“Saya pernah menjadi badut dalam parti dan terserempak dengan seorang ahli silap mata yang melakukan helah beliau di salah satu majlis,” Vikey memberitahu FMT ketika ditemui baru-baru ini.

“Selepas majlis berkenaan, saya bertanya kepadanya bagaimana beliau melakukan semua helah itu dan beliau memberitahu supaya mendapatkan semua maklumat itu sendiri,” katanya, sambil menambah kata-kata nasihat itu membuatkan beliau nekad berusaha mempelajari segala-galanya tentang silap mati.

Pencariannya membawa beliau ke sebuah sekolah ahli silap mata di Bangkok.
Bapanya, seorang doktor veterinar dan ibu, eksekutif di Dewan Perniagaan India, tidak menggalakkan Vikey meneruskan minatnya itu.

“Ayah saya memberitahu, apa sahaja yang anda lakukan, jangan rosakkan hidup anda,” kata beliau.

Berpegang kepada nasihat ayahnya itu, Vikey membuat persembahan bergerak yang dianjurkan pelbagai syarikat korporat di seluruh negara dalam pelbagai bidang silap mata, termasuk silap mata jalanan, pentas, komedi dan badut.

Beliau meneruskannya selama beberapa tahun sebelum menubuhkan syarikat acara dan hiburan sendiri.

Berbicara tentang kemenangan terbarunya, Vikey berkata beliau pada mulanya menyangka seseorang cuba bergurau dengannya apabila menerima e-mel daripada Persatuan Ahli Silap Mata Antarabangsa (IMS) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, 2 bulan lalu.

E-mel berkenaan mengatakan beliau tercalon bagi salah satu kategori dalam Anugerah Merlin iaitu anugerah berprestij bagi ahli silap mata, yang juga setaraf anugerah Oscar bagi bintang filem.

IMS mempunyai 37,000 ahli berdaftar di seluruh dunia, dan diasaskan ahli silap mata veteran Tony Hassini.

Bekas pemenang anugerah itu ialah David Copperfield, Siegfried dan Roy, Penn & Teller, David Blaine dan Criss Angel.

Vikey dijemput sebagai seorang ahli silap mata jemputan pada International Magic Ekstravaganza di Bangkok minggu lepas, di mana anugerah itu disampaikan kepada beliau.

Vikey merupakan warga Malaysia ke-3 yang memenangi anugerah itu dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Vikey melakukan sekurang-kurangnya 25 persembahan sebulan dalam negara dan kira-kira 10 di luar negara dalam setahun, bersama teman wanitanya yang juga adalah pembantu bersama 5 penolong lain dalam pasukannya.

Nasihat beliau kepada ahli-ahli silap mata: “Jika anda mahu mempelajari ilmu silap mata, jangan lakukannya semata-mata untuk menarik perhatian orang lain.

Lakukannya demi untuk menguasai bidang ini, kita tidak sepatutnya terhenti pada tahap asas sahaja,” katanya.

“Sentiasa berusaha mencapai yang terbaik semampu yang anda boleh.

“Saya masih ingat memberitahu seorang wartawan TV beberapa tahun lalu yang saya mahu, dan akan menang, Anugerah Merlin. Kini, saya berjaya mencapai impian itu.”

Mengimbas kembali beberapa dekad yang lalu, beliau berkata tidak menyesal berkecimpung dalam dunia silap mata, yang tersasar jauh daripada cita-cita zaman kanak-kanaknya iaitu untuk menjadi seorang anggota polis.

Matlamat Vikey seterusnya adalah untuk menguasai seni “menukar pakaian segera”, dan beliau dijangka terbang ke Jerman tidak lama lagi untuk mempelajarinya daripada artis terkenal dalam bidang itu, Sos dan Victoria.