Kapal bawa minyak sawit RM15 juta dirompak

maritimKUCHING: Sebuah bot tunda dan baj yang dalam perjalanan dari Tawau menuju Pelabuhan Klang, dilaporkan dirompak sekitar 62 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu, kira-kira 8.30 malam kelmarin.

Bagaimanapun, Pengarah Maritim Daerah 12 Bintulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, bot tunda Ever Ocean Silk dan baj Ever Giant itu ditemui pada jam 3.24 petang semalam oleh kapal APMM, KM Jepak kira-kira 30 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu.

“Semua 10 kru dalam keadaan selamat dan tidak dicederakan, namun masih trauma,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan APMM, awal pagi ini.

Beliau berkata, bot tunda serta baj itu dilaporkan membawa muatan 2,499 tan minyak kelapa sawit yang dianggarkan bernilai RM14.99 juta.

Katanya, perompak bersenjatakan parang mengambil beberapa peralatan komunikasi dan sejumlah minyak diesel dipindahkan ke bot perompak.

“Kumpulan perompak itu menaiki 2 bot, satu daripadanya jenis kayu. Jumlah perompak tidak dapat dipastikan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Aminuddin Abdul Rashid berkata, sebaik APMM menerima laporan mengenai kehilangan bot tunda dan baj itu pagi semalam, kapal maritim APMM – KM Jepak dan KM Tabah serta Bot Penggalang 33 dikerah bagi mengesan bot tunda dan baj itu.