Bintang Manchester United bakal buka hotel, kafe di Malaysia

cafePETALING JAYA: Pemain bola sepak Ryan Giggs dan Gary Neville yang hampir sinonim dengan pasukan Manchester United (MU) bakal membuka beberapa hotel dan kafe di Asia termasuk Malaysia, hasil gandingan dengan usahawan Singapura, Peter Lim, lapor Bloomberg.

Giggs dan Neville yang merupakan lagenda MU sejak menyertai kelab itu pada usia remaja, dilaporkan akan melancarkan hotel dan kafe bertemakan bola sepak di Singapura pada tahun depan.

Kafe pertama mereka, Cafe Football, dibuka di Westfield Stratford, London pada Oktober 2013, disusuli projek Hotel Football pada Disember 2014, bersebelahan padang Old Trafford.

Rakan seperjuangan mereka daripada generasi pemain dikenali “Class of ’92”, Philip Neville, Paul Scholes dan Nicky Butt, turut terlibat dalam projek Hotel Football di Manchester.

Hasil gandingan Giggs dan Neville dengan Rowsley Ltd yang dimiliki Lim, sebuah lagi kafe bola sepak dibuka di Muzium Bola Sepak Kebangsaan di Manchester.

“Kami menerima sambutan hebat di Manchester, dan kami mahu melebarkan sayap ke seluruh UK, Eropah dan Asia dalam 12-18 bulan akan datang,” kata Neville dipetik Bloomberg.

Giggs dan Neville kini dalam perbincangan mencari rakan kongsi di China, Thailand, India, Singapura dan Malaysia.

Pasangan tersebut mewakili MU dalam 1,500 perlawanan dan terlibat dalam 21 kejuaraan kelab itu pada Liga Perdana Inggeri (EPL).