Exco: Johor batal sambutan Deepavali peringkat negeri

johor_deepavali_hospital_6001

JOHOR BAHRU: Sambutan Deepavali peringkat negeri Johor tidak akan diadakan bagi menghormati mangsa dan keluarga terbabit dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan berkata, kerajaan negeri serta masyarakat umumnya masih berdukacita dengan kejadian menyayat hati itu dan mahu bersama memberi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan waris dalam kebakaran itu.

Beliau berkata, kejadian itu yang mengorbankan 6 pesakit kritikal di ICU masih segar di minda masyarakat dan berharap orang ramai dapat bersama memberi penghormatan.

“Kami mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sambutan Deepavali peringkat negeri pada tahun ini, berikutan peristiwa menyedihkan yang berlaku di HSA. Kita mahu menghormati mangsa dan perasaan keluarga mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, MIC mengumumkan pembatalan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti itu, Sabtu ini, bagi menghormati mangsa dan waris berikutan kebakaran di HSA.

Dalam perkembangan berkaitan, Vidyananthan berkata, kerajaan negeri membiayai urusan penghantaran pulang jenazah mangsa yang terkorban dalam kebakaran pada Selasa lalu, untuk urusan pengebumian dan upacara keagamaan di kampung halaman masing-masing.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, 6 pesakit kritikal di ICU terkorban, manakala seorang pesakit berjaya diselamatkan.

Tiga kakitangan HSA cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Mereka yang terkorban ialah K Logeswaran, 20; Choo Lin Fung, 37; Toh Ah Wah, 60; Yusof Hassan, 53; M Kaliama, 23, dan C Neeramala Devi, 24.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri akan memberi sumbangan RM2,000 kepada waris mangsa korban, RM5,000 bagi mangsa cedera parah dan RM3,000 untuk mangsa cedera ringan dalam tragedi itu.

6 maut dalam kebakaran Hospital Sultanah Aminah di JB