Hantar akauntan serbu kilang, kenalpasti dalang pencemaran

wong-chen_pollution_water_600

PETALING JAYA: Wakil rakyat PKR, Wong Chen hari ini mengaitkan kejadian pencemaran air di Selangor dengan ekonomi yang semakin suram, dengan berkata membuang sisa merata-rata sesuatu yang biasa dilakukan kilang dalam usaha mengurangkan kos mereka.

Ahli Parlimen Kelana Jaya itu percaya lebih banyak syarikat akan cuba mengurangkan kos dengan membuang sisa ke sungai.

Atas sebab itu, katanya di Facebook, suatu audit yang menyeluruh perlu dilakukan ke atas semua kilang.

“Sekiranya pegawai penguatkuasa tidak berkesan maka kita hantar akauntan.

“Kita perlu semua kilang di Selangor dedah inventori sisa masing-masing. Kita mahu tangkap pesalah, dan menghukum mereka sekerasnya bagi menamatkan kitaran gangguan bekalan air,” kata Wong Chen mengulas krisis air di Selangor ketika ini.

Beliau menyeru pihak berkuasa supaya mengesan rekod output sisa industri kilang-kilang, kemudian semak balas dengan angka kos pelupusan mereka.

“Sekiranya dalam rekod didapati ada pengurangan besar dalam pelupusan sisa tahun lepas, kita boleh andaikan mereka terbabit dengan kegiatan pembuangan secara haram. Percanggahan besar dalam akaun dijadikan asas untuk siasatan oleh pihak berkuasa,” kata Wong Chen.

“Kerajaan Negeri harus meletakkan tanda aras output sisa untuk setiap industri sebagai amaran awal ketaktentuan data.”

Beliau juga menyeru pemantauan keselamatan sungai dipertingkat, dengan mengadakan sekatan jalan waktu malam bagi memantau semua aktiviti lori yang mencurigakan.

“Penduduk yang berang tak mahu dengar alasan atau sebab-musabab. Saya faham, mereka hanya mahukan air dan mereka tidak mahu krisis berulang.

“Oleh itu Selangor harus perbaiki sistem pembekalan air kecemasan. Kita perlu lebih banyak lori tangki air dan pembekalan dibuat secara berjadual dan kerap,” kata Wong Chen.

Pencemaran sungai dipersalahkan untuk krisis air Selangor, manakala Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar setakat ini berkata bukan kerana “sabotaj politik”.