Jadual lori air Syabas bingungkan warga Subang Jaya

blakeSUBANG JAYA: Warga Subang Jaya tidak berpuas hati dengan masa Syaribat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menghantar lori tangki air ke UEP Subang Jaya (USJ).

Syabas hari ini menghantar 3 lori tangki air saiz jumbo ke USJ4 sekitar jam 2.00 petang tadi susulan gangguan bekalan air yang dipercayai akibat pencemaran di loji rawatan air Sungai Semenyih di Dengkil.

Penduduk tidak berpuas hati kerana sebahagian besar golongan dewasa yang tegap dan sihat sibuk di tempat kerja.

“Saya berusia 55 tahun, anak saya paling bongsu 5 tahun. Anak lelaki sulung dan kedua sekitar umur 20-an dan mereka berdua di tempat kerja.

“Saya suka lori datang, tapi kan lebih baik kalau 2 anak saya boleh bantu,” kata Kak Wani, seorang penduduk ketika mengisi dua botol 5 liter.

Danny Yap, seorang lelaki berusia 55 tahun terdengar keluhan Kak Wani dan bersetuju dengannya. Beliau berkata kebanyakan penduduk yang ada pada masa itu hanya warga tua yang tidak larat memikul baldi dan bekas yang sarat dengan air.

“Kami yang ada disini boleh kira bertuah, sekurang-kurangnya kami boleh bawa 1 atau 2 bekas pulang. Bayangkan isi rumah yang ada orang tua yang tak larat atau tak mampu berjalan, dank anak-anak mereka di rumah. Macam mana dengan mereka?”

Mohammad Firdaws, seorang pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4 terpaksa ponteng aktiviti tambahan di sekolah untuk bantu ibunya.

“Saya sepatutnya pergi latihan, tapi ini lagi penting. Saya tak pasti alasan apa nak beri pada jurulatih esok. Saya harap beliau faham,” katanya.

Seorang wakil pejabat Adun Hannah Yeoh memahami ketidakpuasan hati penduduk.

Beliau, yang hanya mahu dikenali sebagai Jane menjelaskan, hari ini hari ketiga Syabas menggunakan lori tangki saiz jumbo.

“Memang penduduk akan rasa sedikit susah untuk mengambil air, tapi isu padu yang dibawa lebih banyak. Lori jumbo boleh capai lebih ramai orang berbanding lori kecil,” kata Jane kepada FMT.

Sungai Semenyih merupakan batang air penting daripada Empangan Semenyih ke loji rawatan air. Ia menghasilkan lebih 630 juta liter air sehari.

Dilaporkan Taman Perindustrian Hi-Tech Semenyih punca pencemaran itu.

Daerah yang terjejas adalah Hulu Langat (Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Riching); Kuala Langat (Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang); Petaling (USJ 1 hingga USJ 27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang); dan Sepang (Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab).