Kad debit pelajar kekang penyelewengan baucar buku, kata persatuan belia

kad-pelajar

PETALING JAYA: Persatuan belia amat mengalu-alukan langkah kerajaan menggantikan penggunaan baucar buku dengan kad debit pelajar.

Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd Syahbuddin Hashim berkata, ia dapat menghapuskan pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kemudahan skim pelajar itu.

“Saya berasakan ia langkah yang sangat dialu-alukan kerana dapat mengatasi banyak masalah seperti ketirisan wang dan penyelewengan baucar buku,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pengumuman Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kerajaan akan menggantikan baucar buku dengan kad debit pelajar berjumlah RM250 bagi meningkatkan keberkesanan pemberian bantuan pendidikan tinggi.

Najib berkata, kad debit itu akan memanfaatkan 1.3 juta pelajar untuk membeli buku, alat tulis, peralatan komputer dan akses Internet.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah penganjur #TangkapM01, Anis Syafiqah Md Yusof yang berkata, masalah utama pelajar universiti ialah yuran mahal dan tidak selaras, bukannya penggantian baucar buku dengan kad debit.

“Pelajar sedikit sebanyak terkesan dengan pemotongan bajet universiti sebanyak RM8.7 bilion kepada RM7.3 bilion (RM1.4 bilion dipotong) dalam Bajet 2016.

“Bukankah peruntukan pendidikan tinggi bagi 20 universiti awam dinaikkan daripada RM7.3 bilion pada 2016 kepada RM7.4 bilion pada 2017?” katanya.

Mengulas lanjut, Syahbuddin turut menyifatkan pembentangan Bajet 2017 sebagai mesra belia.

“Kenaikan BR1M, persetujuan menaikkan kelayakkan pinjaman, pinjaman mencecah 90% hingga100%, pembinaan 30,000 unit rumah atas tanah milik kerajaan,10,000 unit rumah dibina dibandar untuk disewa pada belia dan pelbagai peluang kepada usahawan muda adalah langkah yang amat tepat dan kena pada masanya,” katanya.

Bajet 2017 tidak mengurangkan peruntukan IPTA

Yuran mahal masalah utama pelajar universiti, bukan baucar buku