Kebakaran hospital: Tiada rancangan gantung Medivest

hilmi-hsa-medivest-1KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menggantung sementara pembekal perkhidmatan sokongan hospital, Medivest Sdn Bhd sepanjang tempoh siasatan ke atas kejadian kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Baru dijalankan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Hilmi Yahaya bercakap dalam Dewan Rakyat hari ini, berkata ia bukan langkah bijak untuk berbuat demikian kerana Medivest juga memberi perkhidmatan hospital di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Kementerian tidak bercadang menggantung perkhidmatan Medivest sepanjang siasatan kerana ini akan memberi kesan kepada perkhidmatan sokongan dan perubatan hospital di 3 negeri lain.”

Hilmi berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Liew Chin Tong (DAP-Kluang), apabila beliau bertanya sekiranya perkhidmatan Medivest akan digantung buat sementara waktu berikutan kejadian Selasa lalu.

Insiden, yang digambarkan sebagai kebakaran melibatkan hospital paling teruk pernah berlaku di negara ini, api yang marak membakar Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA, membunuh 6 pesakit dan mencederakan beberapa yang lain.

Menurut laporan, api mungkin bermula dari bilik rawatan ICU dan mengambil hanya beberapa minit merebak ke ICU, yang menempatkan 7 pesakit dan 10 kakitangan.

Punca kebakaran masih belum diketahui tetapi dalam usaha memastikan kejadian sama tidak berulang, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mengarahkan sebuah jawatankuasa khas bebas diwujudkan.

Bagaimanapun, semalam hospital itu mengalami satu lagi peristiwa menakutkan apabila keluar asap dari soket di bilik bedah hospital yang mengakibatkan pemindahan serta-merta.