Mahdzir: Cadangan ganti UPSR di peringkat akhir, elak murid tertekan

mahdzir-upsr

KUALA NERANG: Cadangan menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) kini di peringkat akhir kajian, kata menteri pendidikan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan menggantikan UPSR kepada PBS sudah beberapa kali dibangkitkan, namun ia perlu diperhalusi secara terperinci dan kementeriannya giat mengumpul pandangan serta maklum balas semua pihak berkepentingan, termasuk guru dan ibu bapa sebelum ia dilaksanakan.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan memastikan psikomotor dan perkembangan murid tidak terjejas dengan tekanan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Dari segi psikomotor dan perkembangan kanak-kanak, dia agak tertekan kerana guru sekolah minta 5A, ibu bapa minta 5A sampai hantar anak tuisyen siang malam…jadi, kita nak ubahkan sikit.

“Zaman ini bukan mahu tengok keputusan peperiksaan, tapi pencapaian sebenar pelajar. Kalau boleh peperiksaan masih ada, tapi ia tidak mewakili semua.

“Apabila sampai masanya, kita akan putuskan apakah kaedah PBS lebih sesuai untuk pelajar, sebab di negara maju, peperiksaan hanya untuk tingkatan tertinggi di sesebuah sekolah,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan masjid baru Kariah Pulau Kijang, Kuala Nerang, hari ini.

Antara kaedah yang boleh digunakan adalah penilaian sama rata, iaitu 50% peperiksaan dan akademik, manakala 50% lagi dinilai melalui displin, kehadiran, kokurikulum serta sukan seseorang murid itu.

Ditanya bentuk ujian untuk pelajar memasuki Sekolah Berasarama Penuh, sekiranya UPSR dimansuhkan, Mahdzir berkata, kementerian akan memikirkan ujian lain berbentuk ‘one-off’ yang sesuai untuk mereka.