Pakar: Bajet BN ‘gula-gula’, bajet pembangkang ‘tak masuk akal’

Profesor-Hoo-Ke-Ping-najibPETALING JAYA: Pakar ekonomi menyifatkan Bajet 2017 yang dibentangkan Barisan Nasional dan Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan sebagai “bajet politik”.

Prof Hoo Ke Ping berkata, Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu ternyata bertujuan memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pelbagai gula-gula diberikan kepada rakyat, khasnya penduduk luar bandar.

Beliau berkata, adalah jelas kerajaan merasakan lebih masuk akal untuk mengukuhkan sokongan pengundi Melayu daripada cuba memenangi hati orang Cina dan bukan Melayu yang sebahagian besarnya menolak BN.

Hoo berkata, Bajet 2017 memperuntukkan banyak dana untuk kawasan Parlimen yang mempunyai ramai peneroka Felda, Felcra, Risda dan pekebun kecil kelapa sawit.

“Gabungan kawasan-kawasan ini mempunyai sekurang-kurangnya 60 kerusi Parlimen,” katanya sambil menambah belanjawan turut menjaga kawasan luar bandar yang dikuasai PAS, menunjukkan kemungkinan BN bekerjasama dengan PAS.

Hoo berkata, Belanjawan Alternatif 2017 yang ditawarkan Pakatan Harapan pula terlalu memfokuskan tema “anti-Najib” dan mempunyai terlalu banyak cadangan populis yang tidak masuk akal.

“Pakatan Harapan memilih untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

“Tetapi, GST adalah bentuk percukaian paling progresif dan diterima pakai 168 negara. Adakah pemimpin Pakatan Harapan fikir mereka lebih bijak daripada pemimpin 168 negara?” soalnya.

Beliau berkata, sistem cukai jualan tidak cekap dan akan mewujudkan ekonomi bawah tanah, kerana syarikat tidak bertanggungjawab akan cuba memintasnya.

Katanya, pakatan pembangkang juga tidak realistik dengan cadangan mengurangkan jumlah pekerja asing di Malaysia serta menaikkan had gaji minimum kepada RM1,500.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang 36% kepada keluaran dalam negara kasar akan runtuh, jika tiada pekerja asing mencukupi dan gaji minimum terlalu tinggi.”

Hoo berkata, produktiviti PKS terjejas apabila kerajaan memutuskan untuk membekukan pengambilan pekerja asing.

Katanya, Pakatan Harapan tidak boleh melaksanakan 2 langkah itu pada masa sama, kerana ia adalah mustahil.

Bajet Alternatif: Pembangkang cadang potong belanjawan JPM 50%

Seperti dijangka, Bajet 2017 penuh ‘gula-gula’