Pembangkang saran tubuh Suruhanjaya Diraja siasat kebakaran HSA

chin-tong-1

KUALA LUMPUR: DAP menyarankan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kebakaran yang meragut 6 nyawa di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, kelmarin.

Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong berkata, suruhanjaya itu perlu diberi kebebasan, tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata, anggota suruhanjaya itu perlu mempunyai kuasa untuk memberi cadangan, struktur dan cara bagi memastikan keselamatan semua hospital di negara ini terjamin.

“Salah satu aspek ialah perkhidmatan sokongan hospital.

“Adalah penting untuk kita dapat pengajaran daripada tragedi ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Rabu lalu, 6 pesakit terbunuh apabila tingkat 2 Unit Rawatan Rapi (ICU) selatan HSA terbakar.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci terhadap kebakaran HSA.

Menteri dalam negeri itu berkata, hasil siasatan itu akan digunakan sebagai panduan bagi semua hospital di negara ini, khasnya bagi hospital yang perlu diubah suai atau dinaik taraf.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam membentangkan satu usul tergempar di Dewan Rakyat yang mencadangkan suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan bagi menyiasat kebakaran di HSA dan memberi cadangan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Beliau berkata, suruhanjaya siasatan bebas itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pakar dalam bidang terbabit, termasuk jurutera dan arkitek.

6 maut dalam kebakaran Hospital Sultanah Aminah di JB

Pakar: Fabrik, alat pernafasan punca kebakaran HSA

Pesakit, kakitangan HSA sekali lagi diarah keluar bangunan