Pencemaran Sg Semenyih masih di tahap kritikal, kata exco Selangor

elizabeth-wong-1

KUALA LUMPUR: Pencemaran bau di Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih (LRA) masih pada tahap kritikal, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong.

“Ia masih keadaan yang kritikal pada ketika ini.

“Kami masih mengepam keluar air dan meletakkannya di dalam kolam untuk dirawat kemudian. Tetapi tahap pencemaran ini tidak boleh dirawat dengan mudah,” katanya kepada pemberita di luar dewan khas Parlimen hari ini.

Menurut Elizabeth, air yang tercemar mengandungi eter octabromodiphenyl, perintang api yang “sangat beracun”.

Beliau juga berkata, kerajaan Selangor meminta Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan membantu mengepam keluar air yang tercemar.

Di Dewan Rakyat awal hari ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana mahu bekerjasama ke arah mencari penyelesaian kepada masalah pencemaran.

Bagaimanapun, ketegangan memuncak di dalam Dewan apabila Azmin secara terbuka mengisytiharkan beliau tidak akan bekerjasama dengan Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar.

“Saya tidak akan bekerjasama dengan Tanjung Karang (Noh). Saya akan melawannya (Noh) hingga ke akhirnya kerana beliau mempolitikkan isu air.

“Malah udang juga mati (di bawah Noh),” kata Azmin merujuk kepada dakwaan Noh mengambil bahagian dalam projek ladang udang komersial ketika menjadi menteri yang bertanggungjawab bagi pertanian.

Noh membalas, menuduh Azmin rasuah. Mengabaikan Noh, Azmin meneruskan dengan memberitahu sidang Dewan Rakyat berhubung pasukan petugas bersama yang akan menjalankan pemeriksaan berkala air sungai.