Sanjeevan didakwa hina ketua polis di Facebook

sanjeevan-igo

PETALING JAYA: Pengerusi MyWatch mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat komen jelik terhadap ketua polis negara di laman Facebook miliknya.

Datuk R Sri Sanjeevan didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik status “Khalid, are you an idiot?” ke Facebooknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Aktivis anti jenayah itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kios di USJ 1, Subang Jaya, pada 3 September lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan Sanjeevan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 November untuk sebutan semula kes.

Preakas Sampunathan mewakili Sanjeevan, manakala Timbalan Pendakwa Raya ialah Nordin Ismail.

Sanjeevan turut menghadapi 3 pertuduhan memeras ugut, 1 pertuduhan mengupah pekerja asing tanpa izin dan satu lagi tuduhan menipu menggunakan ijazah palsu.

Beliau sudah membayar ikat jamin sebanyak RM28,500 untuk semua 5 pertuduhan itu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim juga didakwa di bawah seksyen sama kerana mendesak penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi blognya tahun lalu.