Tak cukup tarbiah, peluang pekerjaan punca pelacuran di Kelantan

Hanafi-Mamat-kelantan-pelacuran

PETALING JAYA: Umno menggesa kerajaan pimpinan PAS supaya menggiatkan pentarbiahan rakyat Kelantan bagi membendung aktiviti pelacuran di negeri Serambi Mekah.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Hanafi Mamat akui aktiviti pelacuran di negeri itu sukar dibuktikan namun orang ramai pernah melaporkan kewujudannya.

“Walaupun tidak ada premis yang dikenal pasti wujud, tetapi ia memang berlaku berdasarkan maklumat orang ramai,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa PAS untuk tidak mudah menepis dakwaan Adun PKR, Roslan Puteh yang berkongsi pengalamannya didekati pelacur di sekitar Jalan Hamzah, Kota Bharu.

“Tidak sukar untuk mempercayai dakwaan Roslan, bahkan peristiwa itu adalah pengalaman beliau sendiri. Beberapa tahun yang lalu perkara yang sama dibangkitkan dengan bukti yang kukuh.”

Jalan Hamzah diapit Kampung Limau Manis dan mempunyai deretan rumah kedai dan hotel. Pasaraya KB Mall terletak berhampiran.

FMT sebelum ini pernah memetik laporan pelacuran menggunakan telefon bimbit dikesan di kawasan itu.

Semalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan “panas” apabila Roslan mendakwa aktiviti pelacuran masih berlaku Kota Bharu walaupun setelah lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan dengan dasar “Membangun Bersama Islam”.

Adun Guchil berkata aktiviti itu masih berlaku di Jalan Hamzah selepas beliau ditawarkan khidmat seks apabila kenderaan yang dinaikinya didekati sekumpulan wanita.

Sehubungan itu, Hanafi yang juga bekas Adun Pengkalan Pasir mendesak kerajaan Kelantan mengambil langkah proaktif membendung gejala maksiat.

“Langkah yang Kerajaan Negeri perlu ambil ialah dengan mengadakan program tarbiah, perkukuhkan moral dan hargai diri kepada remaja serta ibu tunggal dan pelajar.

“Pihak kerajaan juga perlu menyediakan peluang pekerjaan bagi mengelak rakyat negeri itu terjerumus dengan aktiviti pelacuran,” katanya.

Kelantan antara negeri termundur di Semenanjung Tanah Melayu. Pembalakan hasil utama Kerajaan Negeri.

Pautan:

Adun PKR dakwa didatangi pelacur di Kota Bharu

Pelacuran ‘mobile’ dikesan di Kota Bharu