1MDB: Peguam Negara dalam proses jawab permohonan Swiss

apandiPETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara dalam proses menjawab permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) daripada Jabatan Peguam Negara Switzerland berhubung siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut laporan Malaysiakini, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan penerimaan permohonan MLA kedua daripada Jabatan Peguam Negara Swiss, selepas mendakwa pejabatnya belum terima permohonan pertama.

“Kami sudah terima MLA dan sekarang dalam proses menjawabnya,” katanya kepada pemberita selepas menerima pelantikan sebagai profesor adjung di Universiti Utara Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

MLA merupakan perjanjian antara negara bagi tujuan mengumpul dan berkongsi maklumat dalam usaha untuk menguatkuasakan undang-undang.

Menurut laporan terdahulu, permohonan MLA kedua daripada Jabatan Peguam Negara Swiss kepada Malaysia dihantar pada 5 Oktober untuk membantu siasatan ke atas dakwaan kemungkiran peraturan sektor kewangan Switzerland yang membabitkan SRC International Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1MDB.

Negara lain yang menjalankan siasatan tersendiri ke atas 1MDB adalah United Kingdom, Singapura, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Luxembourg.

Apandi juga diminta mengulas dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa beliau bersalah kerana mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak.

“Saya tak tahu, saya tak boleh komen apa yang beliau katakan sebab saya tak mendengarnya,” jawab Apandi.

Ketika dimaklumkan Mahathir membuat pertuduhan itu melalui catatan blog, Apandi belum lagi membacanya maka tidak mahu memberikan sebarang komen.

“Yang terbaik ialah tiada komen lah,” kata beliau, menurut portal berita itu.