Bawa pedang samurai, warga Myanmar dipenjara 5 tahun

samurai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Ampang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap seorang pengutip sampah warga Myanmar yang membawa sebilah pedang samurai di tempat awam.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Omar Kassim Mohd Jalal, 30, selepas dia mengaku bersalah memiliki sebilah pedang samurai bersarung hitam berukuran 0.4 meter di Jalan Bunga Raya, Pandan Indah, di sini, pada 4.50 petang, 17 Oktober lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 17 Oktober lepas.

Omar, yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 5 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun.

Mengikut fakta kes, semasa anggota polis sedang melakukan rondaan khas di kawasan perumahan ketua polis negara, mereka ternampak seorang lelaki sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Jalan Bunga Raya.

Setelah pemeriksaan dilakukan, polis menjumpai sebilah pedang samurai berukuran 0.4 meter di dalam bakul motosikal yang dinaiki tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Omar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia merupakan penanggung utama keluarga dan mempunyai seorang anak berusia 2 minggu.