CD kalimah Allah: Permohonan majlis agama Islam jadi pencelah didengar 16 Disember

mais_law_600KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 16 Disember untuk mendengar permohonan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan cakera padat (CD) oleh seorang wanita.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas kes itu disebut di hadapannya hari ini dengan dihadiri peguam Lim Seng Heng mewakili Jill Ireland Lawerence Bill dan peguam Zirwatul Hanan Abd Rahman yang mewakili Mais.

Pada 20 Ogos 2008, Mais memohon menjadi pencelah dalam semakan kehakiman oleh Jill bagi mendapatkan semula 8 CDnya yang dirampas, dan menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” dan “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah”, dirampas daripada Jill, wanita dari suku kaum Melanau, Sarawak sebaik beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan supaya CD itu dikembalikan kepada Jill tetapi mahkamah itu tidak mengeluarkan perintah terhadap pengisytiharan yang dimohon oleh wanita itu yang beliau berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan “Allah”.

Pada 23 Jun tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang memerintahkan KDN supaya memulangkan 8 keping CD mengandungi kalimah Allah milik Jill selepas menolak rayuan KDN dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Rayuan memerintahkan KDN supaya memulangkan kesemua CD itu dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan itu.

Panel itu juga memerintahkan pengisytiharan dimohon wanita itu yang beliau berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi kalimah “Allah” didengar di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Mais untuk menjadi pencelah sebelum mendengar permohonan pengisytiharan oleh Jill itu.