Dr Mahathir sangsi TN50 Najib akan berjaya

mahathir-tn50

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diumumkan perdana menteri minggu lalu, akan mendatangkan sebarang hasil.

Bekas perdana menteri itu berkata, rekod terdahulu membuktikan dasar dibawa Datuk Seri Najib Razak akan berakhir dengan kegagalan.

“Saya tidak tahu ia (TN50) tentang apa. Apakah transformasinya?

“Dia sudah gariskan banyak perkara, namun tiada apa-apa (perubahan) yang berlaku,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku “From Beirut to Jerusalem” di Yayasan Albukhary, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober lalu, Najib mengumumkan TN50 dan berkata “biarlah legasi lama berlalu pergi”, dipercayai merujuk kepada Wawasan 2020 cetusan Dr Mahathir.

Ketika mengambil alih jawatan perdana menteri pada 2009, Najib memperkenalkan gagasan 1Malaysia, namun ia dilihat gagal menjernihkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum.

Semalam, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pengumuman TN50 ketika pembentangan Bajet 2017 adalah helah untuk menutup kegagalan mencapai matlamat Wawasan 2020.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya cuba memenuhi sasaran Wawasan 2020 terlebih dahulu, sebelum mengumumkan sebarang inisiatif baru.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM enggan mengulas tindakan penyokong kuatnya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan keluar daripada parti itu, semalam.

“Saya tidak tahu tentang perkara itu dan perlu bercakap dengannya terlebih dahulu,” katanya.

Semalam, Khairuddin yang tidak pernah mengumumkan penyertaannya dalam PPBM, membuat kenyataan beliau keluar daripada parti itu kerana mahu menumpukan perhatian terhadap kes mahkamahnya.

Beliau pernah mempersoalkan kegagalan PPBM menamakan Mukhriz sebagai timbalan presiden parti itu, selepas mendakwa pelantikan itu sudah dipersetujui pada peringkat awal penubuhan PPBM.

 

PAUTAN:

TN50 helah Najib tutup kegagalan capai Wawasan 2020, kata Mukhriz