IS culik puluh ribu wanita, kanak-kanak untuk dijadikan perisai

militantGENEVA: Angkatan IS di Iraq menculik puluhan ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada kawasan sekitar Mosul dan menggunakan mangsa sebagai perisai manusia.

Mereka sedang berdepan kemaraan askar kerajaan Iraq, kata pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Militan pelampau Sunni itu, yang dikenali sebagai ISIL, membunuh kira-kira 232 orang pada Rabu, termasuk 190 bekas askar Iraq dan 42 orang awam yang enggan mematuhi arahan mereka, menurut jurucakap hak asasi manusia PBB Ravina Shamdasani.

“Laporan yang boleh dipercayai mencadangkan IS memaksa puluhan ribu orang keluar daripada rumah masing-masing di beberapa daerah kecil sekitar Mosul dan memindahkan mereka ke dalam kawasan bandar sejak operasi memulihkan kawasan kerajaan Iraq di Mosul bermula pada 17 Oktober,” kata Shamdasani dalam satu taklimat.

Langkah itu bertujuan untuk “menggunakan mereka sebagai perisai, dengan menempatkan mereka berhampiran kawasan tentera…dalam usaha untuk menyukar operasi ketenteraan dijalankan,” jelasnya.

Hampir 8,000 keluar, dianggarkan 6 orang setiap keluarga, diculik di beberapa daerah kecil termasuk Shura, katanya.

“Strategi penakut IS ialah menggunakan tebusan untuk menyebabkan kawasan tertentu atau kumpulan tertentu tidak disentuh operasi ketenteraan, menggunakan puluhan ribu wanita, lelaki dan kanak-kanak sebagai perisai manusia” tambahnya.

“Mereka yang enggan ditembak serta-merta,” katanya.

Laporan itu, daripada mereka yang melarikan diri serta daripada kumpulan bantuan kemanusiaan, sudah disahkan PBB, tambahnya.

Kumpulan separa-tentera Syiah Iraq yang disokong Iran bersiap sedia melancarkan serangan terhadap kedudukan IS di barat Mosul, membantu kempen tentera menawan bandar itu, kata seorang jurucakap pada Jumaat.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Zeid Ra’ad al-Hussein bimbang akan laporan yang melaporkan individu tertentu di selatan Mosul “melakukan pembunuhan sebagai membalas dendam dan bersumpah di televisyen untuk membalas dendam terhadap mereka yang menyebelahi IS,” kata Shamdasani.

“Beberapa orang kata ‘saya nampak seorang lelaki datang dan bunuh bapa saya, jadi saya tak boleh tahan, saya perlu balas dendam’,” katanya.

Beberapa penduduk dihalang pulang ke kampung halaman masing-masing kerana dianggap menyokong IS, katanya.

Kerajaan menjalankan pemeriksaan untuk memeriksa orang yang melarikan diri dari Mosul tetapi proses itu perlu dijalankan secara berperikemanusiaan selaras piawaian antarabangsa, kata Shamdasani.

“Pejuang IS yang ditawan dan mereka yang dianggap menyokong kumpulan itu perlu dilayan mengikut undang-undang antarabangsa dan dipertanggungjawab untuk kesalahan masing-masing melalui tribunal yang ditubuhkan dengan betul.”