Kebakaran HSA: Emosi pesakit semakin stabil, kata pakar psikologi

Hospital Sultanah Aminah

JOHOR BAHRU: Menangis tidak berhenti-henti, sentiasa cemas dan memohon dibenarkan pulang ke rumah secepat mungkin, antara reaksi sebilangan pesakit Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang trauma selepas kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan, Selasa lalu.

Bagaimanapun, masuk hari ke-3 (semalam) selepas kejadian meragut 6 nyawa pesakit di wad kritikal itu, emosi rata-rata pesakit kini semakin pulih, kata seorang pakar psikologi.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Sains Sosial, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Roslee Ahmad berkata, berdasarkan ujian psikologi, kadar kebimbangan terhadap tahap keselamatan mereka semakin menurun kepada tahap 4.

“Pada hari kejadian, tahap kebimbangan adalah pada tahap 10 dan ini menunjukkan pesakit bimbang dan trauma dengan keadaan yang menimpa mereka.

“Tahap normal adalah antara 0 hingga 1. Kami berusaha memberi kaunseling supaya mereka semakin tenang dan tidak mengingati kejadian ngeri yang menimpa mereka itu,” katanya kepada Bernama.

Dr Roslee yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kaunseling berkata, pihaknya menjalankan sesi kaunseling kepada 6 pesakit, termasuk 2 ahli keluarga pesakit yang kini berada di Wad Ortopedik sejak Rabu lalu.

Katanya, pesakit-pesakit berkenaan berada di wad berdekatan ICU yang terbakar itu pada hari kejadian.

“Meskipun mereka bukan pesakit dari bilik ICU yang terbakar, namun mereka turut terkesan dan trauma.

“Keadaan mereka semakin pulih dan kami pantau keadaan mereka dari semasa ke semasa. Syukur perkembangannya adalah positif,” katanya.

Wad Ortopedik menempatkan pesakit-pesakit yang memerlukan penjagaan sebelum dan selepas pembedahan.

Seramai 15 kaunselor, iaitu 7 daripada UTM dan selebihnya HSA sendiri ditugaskan untuk memberi kaunseling kepada pesakit yang trauma akibat kebakaran itu.

Dalam kebakaran pada Selasa lalu, 6 pesakit ICU maut. Seorang lagi pesakit, 2 jururawat dan seorang pelatih fisioterapi cedera akibat terhidup asap dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, bangunan induk HSA ditutup sementara secara berperingkat, bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pemeriksaan keselamatan, termasuk pendawaian, struktur dan hal berkaitan yang dijangka mengambil masa 2 hingga 4 minggu.