Pembangkang hanya mimpi kata India sokong PKR, DAP, kata MIC

Mohana-Muniandy-L

PETALING JAYA: Ketua Wanita MIC berkata PKR dan DAP hanya bermimpi jika menganggap majoriti masyarakat India di negara ini masih menyokong pembangkang.

M Mohana berkata masyarakat India sudah hilang kepercayaan dengan pembangkang kerana sehingga kini tidak ada perancangan jelas untuk mereka seperti dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Saya rasa Kulasegaran dan pemimpin pembangkang bermimpi dan saya hendak tanya kepada PKR dan DAP apa perancangan mereka untuk masyarakat India, berbanding apa yang dilakukan Najib.

“Kalau hampir 70% menyokong mereka kenapa perlu lakukan politik retorik seperti ini. Tindakan itu amat terdesak dan masyarakat di akar umbi tahu siapa sebenarnya yang banyak bantu mereka,” katanya kepada FMT.

Mohana berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M Kulasegaran yang sokongan masyarakat India kepada PKR dan DAP akan berkembang ketika MIC terus berpecah belah, dan Putrajaya belum melakukan secukupnya untuk masyarakat terpinggir itu.

Beliau juga yakin PKR dan DAP akan dapat mengekalkan 65% hingga 70% sokongan pengundi India dalam pilihan raya umum akan datang.

Mohana turut memberi contoh kerajaan PKR dan DAP di Selangor dan Pulau Pinang gagal membela masyarakat India, apabila sambutan Deepavali juga tidak diberi keutamaan.

“Kalau kita tengok di negeri DAP dan PKR contohnya di Selangor dan Pulau Pinang sambutan hari Deepavali tidak diberi kepentingan, keadaan suram apatah lagi hendak jaga kebajikan orang India,” katanya.

Mohana berkata dakwaan kononnya MIC berpecah di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Subramaniam adalah tidak benar dan ia hanyalah rekaan pihak pembangkang.

“MIC tidak berpecah dan hanya kerana 2 atau 3 orang bermasalah, kita kata 4,000 orang berpecah belah. Itu persepsi salah pembangkang untuk memesongkan rakyat,” katanya.

PAUTAN:

Majoriti pengundi India masih sokong PKR, DAP