Peniaga mengeluh krisis air jejas pendapatan

air

SUBANG JAYA : Kebanyakan peniaga di kawasan Subang mengeluh akibat ketiadaan air selama 4 hari di kawasan terbabit bermula Isnin sehingga semalam.

Walaupun bekalan air sudah pulih hari ini, peniaga restoran dan kedai mencuci kereta menyatakan mereka mengalami kerugian dan kesukaran untuk berniaga.

Pemilik restoran Radi Corner, Mohd Zamrin Omar berkata pihaknya akan menyediakan tong yang banyak untuk menadah air sekiranya berlaku krisis air.

“Tapi kalau dah tak ada sangat air, memang saya kena tutup kedai. Itulah masalahnya bila tak ada air kepada peniaga-peniaga macam saya.

“Betul-betul bersusah payah angkat tong, sediakan air sebab (kedai) saya bukan dekat rumah. Kedai banyak guna air, memang berpeluhlah,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau turut berharap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan menyediakan sebuah tong besar untuk peniaga seperti mereka di hadapan kedai supaya dapat mengambil air dengan mudah.

Sebelum ini, Syabas berkata pihaknya sedang berusaha mempercepatkan pemulihan bekalan air di beberapa kawasan di USJ, Subang Jaya, Bandar Puteri Puchong dan Puchong yang mengalami gangguan selama 4 hari sejak Isnin lepas.

Bagaimanapun, bekalan air di USJ dan Bandar Puteri Puchong di bawah Zon 2 akan dipulihkan secara berperingkat yang mana bekalan air di kawasan terlibat dijangka pulih sepenuhnya Sabtu ini.

Dalam pada itu, pengurus restoran Cina yang mahu dikenali sebagai Vicki berkata, restoran mereka mencatatkan kerugian apabila berlakunya krisis air kerana tidak ramai pelanggan yang datang.

“Rugi besar. Anda boleh nampak orang tak datang. Tak ada. Sebelum itu anda boleh lihat orang datang untuk makan,” katanya.

Menurutnya, apabila berlakunya krisis air, penduduk yang tinggal di kawasan Subang akan keluar dari kawasan terbabit untuk makan tengah hari atau malam.

“Ia memberikan masa yang sukar kepada para peniaga restoran di Subang,” katanya.

Penyelia Shell USJ 9, Md Abdul Awal berkata pihaknya terpaksa menutup kedai mencuci kereta selama 4 hari akibat ketiadaan air dan akibatnya mengalami kerugian kira-kira RM4,000.

“Lagipun (nak) Deepavali orang cuci kereta, orang marah (dekat kita). Kenapa tak boleh cuci, kenapa tak ada air. Kita nak jawab pun susah,” katanya.